arena

Poad tak jadi pergi Jerman

Oleh Aida Adilah Mat

KUALA LUMPUR: Selepas memikirkan kesan baik dan buruknya, jurulatih pecut negara, Mohd Poad Md Kassim memutuskan tidak akan ke Jerman untuk bersama dengan anak buahnya di sana.  

Biarpun sudah mendapat lampu hijau daripada Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk Karim Ibrahim, Poad bagaimanapun terpaksa menolak untuk memberi fokus kepada persediaan Kejohanan Sukan Sekolah ASEAN yang mana Malaysia akan menjadi tuan rumah.  

Poad ketika dihubungi memaklumkan perkara itu namun yakin biarpun tanpa kehadirannya, barisan pelari pecut negara terdiri daripada Khairul Hafiz Jantan, Haikal Hanafi dan Muhammad Zulfiqar Ismail mampu melakukan yang terbaik dan memecahkan rekod kebangsaan dalam acara 4x100 meter (m).  

“Saya sudah ambil keputusan untuk tidak ke Jerman. Tak mengapa saya tahu mereka boleh lakukan tanpa saya di sisi.  

“Bagaimanapun, saya tetap memantau perkembangan mereka yang kini di bawah jagaan jurulatih M Balamurugan dan melalui WhatsApp,” katanya.  

Barisan kuartet negara dijangka akan menyertai pertandingan pertama mereka di Jerman esok yang mana percaturan baharu akan dilakukan dengan menyenaraikan Haikal sebagai pelari pertama diikuti Jonathan Nyepa, Zulfiqar dan Khairul sebagai pelari terakhir.  

Malah, Poad merasakan bahawa tiada masalah buat kuartet baharu itu memecahkan rekod kebangsaan sekali gus melayakkan diri ke Sukan Asia atas tiket kategori A.   

Kuartet 4x100m perlu mencatatkan kepantasan 39.08 saat iaitu catatan tempat keempat acara itu di Sukan Asia, Incheon, Korea Selatan pada 2014.  

Rekod kebangsaan acara itu ialah 39.27s yang dirakamkan Haiqal, Jonathan, Nixson Kennedy dan Badrul Hisyam Abdul Manap di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017).

Disiarkan pada: July 5, 2018 @ 6:15pm
d