arena

Hazard ketuai serangan Belgium

Oleh Reuters

NIZHNY NOVGOROD, Russia: Eden Hazard akan mengetuai Belgium pada aksi suku akhir Piala Dunia menentang Brazil, awal pagi Sabtu ini - pentas yang dibina untuk menonjolkan bakat istimewanya - tetapi adakah ia mampu dimanfaatkan pasukannya terus menjadi persoalan.

Hazard tanpa ragu dianggap antara bintang paling menyinar di Russia dan pada usia 27 tahun sambil memakai lilitan kapten, dia jelas berada di puncak prestasinya.

Tetapi apabila situasi menjadi lebih sukar, keraguan mulai muncul dan pemain tengah menyerang itu sekali lagi terbukti dia bukanlah sesiapapun.

Ia terjadi ketika Piala Dunia 2014 di Brazil dan dua tahun lalu di Kejuaraan Eropah (EURO) ketika ‘generasi emas’ Belgium hampir menonjolkan potensi yang dimiliki mereka tetapi akhirnya kecewa.

Ketika menentang Argentina di suku akhir Piala Dunia 2014, Hazard tampak longlai dan dikeluarkan pada minit ke-75 yang menyaksikan skuad yang diketuai Lionel Messi menang dengan keputusan 1-0 dan ia berlaku sekali lagi apabila Belgium tewas 1-3 kepada Wales di suku akhir EURO.

Hazard dikagumi atas kepantasannya ketika menyerang, kemampuan untuk menewaskan pertahanan lawan dan penyudah hebat tetapi kebijaksanaan yang dimilikinya paling mencuri tumpuan.

Sekalipun sering dibebani dengan tekanan dan jangkaan tinggi, Hazard tetap bersahaja dan ia menjadi sesuatu yang menjengkelkan pengurusnya seperti Jose Mourinho dan Antonio Conte.

Tetapi Belgium tahu apa yang mampu dilakukannya dan tetap meletakkan kepercayaan penuh kepadanya.

“Dia bukannya pemimpin yang sejati seperti (Vincent) Kompany tetapi ketua yang diteladani di atas padang,” kata pertahanan Thomas Meunier.

“Dia mempunyai kualiti yang menakjubkan, perkara yang pemain lain tidak boleh lakukan. Kamu tidak boleh terus berlari kepadanya, kakinya amat kuat jadi sukar untuk merampas bola daripadanya. Saya fikir dia pemain yang lengkap.”

Bagi penjaga gol, Thibault Courtois yang juga rakan sepasukannya di Chelsea, Hazard digambarkannya sebagai berada di puncak prestasi ketika ini dan bersedia untuk menunjukkannya.

“Saya mengenalinya agak lama dan cara dia berlatih pada minggu lalu menakjubkan. Saya fikir dia boleh melepasi satu lagi tahap.”

Disiarkan pada: July 5, 2018 @ 7:27pm
d