arena

MU bayang sambung khidmat Ifedayo

Oleh Nazri Abu Bakar

PENGURUSAN Melaka United (MU) setakat ini berpuas hati dengan khidmat dua import baharu skuad itu, Ifedayo Olusegun (Nigeria) dan Lee Chang Hoon (Korea Selatan) dengan menggambarkan bakal menyambung kontrak mereka musim depan.

Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Melaka United (MUSA), Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi berkata, kehadiran dua pemain yang mengambil alih tempat Thiago Gomes (Portugal) dan Jeon Woo Young (Korea) itu membantu kebangkitan skuad berkenaan pada pusingan kedua setakat ini.

Katanya, MU mengambil keputusan tepat menyenaraikan mereka yang turut menyumbang 11 mata sepanjang pusingan kedua, berbanding hanya sembilan mata pada pusingan pertama.

Situasi itu amat melegakan, malah kedua-dua pemain terbabit turut menyumbang jaringan penting kemenangan termasuk ketika berdepan PKNS, Kuala Lumpur dan PKNP.

”Kami membayangkan akan menyambung khidmat mereka, namun masih terlalu awal untuk membuat keputusan berikutan saingan liga masih berlangsung.

Bagaimanapun, kedudukan Chang Hoon belum boleh dipastikan berikutan dia memiliki kecederaan lama yang sering berulang sehingga terpaksa direhatkan ketika MU berdepan Johor Darul Ta’zim di Paya Rumput dua minggu lalu,” katanya.

Namun, sebarang kemungkinan boleh berlaku berikutan tempoh panjang sebelum musim 2019 terutama kecederaan dan prestasi semasa selain kehadiran muka baharu yang lebih sesuai pada pandangan jurulatih.

Dalam pada itu, Mohd Yusoff mengharapkan pasukan berkenaan tidak jatuh ke Liga Perdana dan layak ke Piala Malaysia menerusi sumbangan pemain Hang Tuah itu di bawah kendalian jurulatih E Elavarasan.

Baginya, jika persembahan mantap yang ditunjukkan setakat ini, tidak mustahil sasaran terbabit mampu menjadi kenyataan.

Selepas 17 perlawanan, MU kini berada di tangga kesembilan dengan 20 mata diikuti di tangga ke-10 hingga 12 pasukan PKNP (16 perlawanan) dengan 18 mata, Negeri Sembilan (12 mata) dan Kelantan 11 mata.

Disiarkan pada: July 6, 2018 @ 1:45pm
d