arena

'Tak payah fikir pasal Segovia...'

Oleh Mohd Fitrie Muhamad dan Syafiq Aznan

KAPTEN Pahang, Matthew Davies tidak mahu barisan pertahanan Tok Gajah dibayangi kehebatan penyerang import Selangor, Rufino Segovia ketika kedua-dua pasukan bertemu pada final Piala FA di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), malam esok.

Walaupun mengakui rekod cemerlang yang dimiliki penyerang kelahiran Madrid, Sepanyol itu sepanjang kempen Piala FA musim ini, Davies enggan ambil pusing kerana cukup yakin dengan keampuhan benteng Tok Gajah.

“Kita memiliki rekod baik ketika bertahan sepanjang pertandingan ini. Dia (Segovia) pemain yang perlu diberi perhatian tetapi kita juga ada pemain seperti Muslim Ahmad dan Bunyamin Umar untuk merantainya.

“Kami tidak mahu kecewa sekali lagi dan harap kali ini akan beri keputusan positif buat Pahang,” katanya pada sidang media praperlawanan di SNBJ, hari ini.

Sejak pusingan kedua, Pahang hanya melepaskan satu gol berbanding Red Giants yang dibolosi empat kali.

Dalam perkembangan lain, Davies menyeru penyokong Pantai Timur hadir ke stadium bagi menghangatkan perlawanan.

“Tidak kira dari mana, kami sebagai pasukan Pantai Timur mewakili mereka. Saya harap mereka datang memberi sokongan kepada kami,” katanya.

Disiarkan pada: July 6, 2018 @ 8:50pm
d