arena

Cinta mula berputik di Russia

Oleh AFP

MOSCOW: Presiden Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), Gianni Infantino memberitahu Presiden Russia, Vladimir Putin dunia sudah ‘jatuh cinta’ dengan Russia dan memujinya kerana berjaya menepis tanggapan negatif mengenai tuan rumah Piala Dunia itu.

Infantino memaklumkan perkara itu ketika mesyuarat bersama Putin serta bekas bintang bola sepak dunia termasuk bekas pertahanan England, Rio Ferdinand dan penjaga gol Denmark, Peter Schmeichel.

“Kami jatuh cinta dengan Russia. Setiap orang yang berada di sini dalam tempoh yang lama sudah mengetahui banyak perkara baharu mengenai negara ini yang selama ini kami sendiri tidak tahu,” katanya.

Di sebalik hubungan tegang dengan negara Barat, Putin berjaya membuktikan bahawa Russia mampu menjadi penganjur terbaik.

Bagaimanapun kumpulan hak asasi manusia memberi amaran bahawa Putin mempergunakan landasan penganjuran sukan terbesar dunia itu untuk menunjukkan kuasanya.

Namun, Piala Dunia kali ini mencetuskan suasana cukup berbeza berbanding tanggapan negatif yang sering dilabelkan kepada Russia termasuklah prestasi buruk pasukan kebangsaan mereka sebelum bermulanya kejohanan.

“Russia kini jelas menjadi negara bola sepak sebenar. Demam bola sepak sudah menyerap ke seluruh badan rakyat Russia,” kata Infantino.

Ramai pelancong yang hadir ke Russia berpendapat mereka merasai suasana yang lebih positif ketika di Russia.

“Banyak perkara negatif mengenai Russia sebelum ini jelas tidak benar. Ramai yang menganggap Russia negara yang aman serta mesra pelancong,” kata Putin.

Disiarkan pada: July 6, 2018 @ 10:56pm
d