arena

United, Leicester pembuka tirai EPL

Oleh AFP

LONDON: Manchester United dan pembelian besar terbaharu kelab itu dari Brazil, Fred akan bertemu Leicester City pada perlawanan pertama Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini pada Jumaat, 10 Ogos disebabkan oleh tuntutan siaran televisyen.

Jiran United dan penyandang juara, Manchester City perlu menunggu sehingga Ahad untuk mengharungi perlawanan pertama ketika berkunjung ke Arsenal yang memulakan babak baharu bersama pengurus Sepanyol, Unai Emery selepas dua dekad di bawah kendalian Arsene Wenger.

Turut berlangsung pada Ahad ialah perlawanan membabitkan Liverpool dan West Ham di Anfield dengan semua mata pasti tertumpu kepada penjaga gol Liverpool, Loris Karius selepas kesilapan memalukannya di final Liga Juara-Juara.

Pertembungan itu turut menyaksikan kepulangan bekas bos City, Manuel Pellegrini bersama skuad The Hammers.

Emery juga pasti berfikir dia mungkin dipalit nasib malang sebelum jadual perlawanan diumumkan apabila skuad kendaliannya dijadual bertemu juara musim 2016/17 Chelsea pada Ahad berikutnya.

Perlawanan itu turut dianjakkan ke hari Sabtu agar ia dapat disiarkan secara langsung.

Penonton juga dapat melihat penampilan dua daripada tiga kelab yang dinaikkan pangkat lebih awal.

Wolverhampton Wanderers yang menamatkan saingan divisyen dua selaku juara akan bertemu Everton yang turut mendapat sentuhan jurulatih baharu, Marco Silva dijadual berlangsung pada Sabtu.

Cardiff yang dikemudi jurulatih veteran, Neil Warnock di mana perlawanan mereka dengan Newcastle United pada Sabtu berikutnya dianjakkan kepada waktu tengah hari supaya ia dapat disiarkan secara langsung.

Begitupun, kelab ketiga yang dinaikkan pangkat ke EPL, Fulham perlu menunggu sehingga perlawanan keenam, apabila menanti kunjungan Watford pada 22 September untuk ia dipancarkan secara langsung.

Disiarkan pada: July 7, 2018 @ 4:21am
d