arena

'Ini bukan menang nasib laa..'

Oleh Reuters

KAZAN: Belgium menggabungkan kombinasi keberanian, kebijaksanaan, ketahanan dan bukannya nasib semata-mata untuk menyingkirkan pasukan pilihan Piala Dunia Brazil 2-1 dalam aksi suku akhir awal pagi tadi sekali gus memberi bayangan ke pentas final.

Selepas kekecewaan tersingkir di peringkat suku akhir dalam dua kejohanan utama sebelum ini, jurulatih Belgium Roberto Martinez berjaya menerapkan keyakinan diri buat barisan pemain berbakatnya yang hilang sebelum ini.

Martinez melakukan perubahan dalam formasi Belgium dan memulakan perlawanan dengan barisan pemain yang mengalahkan Jepun 3-2 di mana mereka bangkit selepas ketinggalan dua gol.

Kevin De Bruyne bertukar posisi di belakang penyerang manakala Romelu Lukaku ditugaskan berada di posisi kanan manakala Eden Hazard di sebelah kiri.

“Anda perlu menggunakan kelebihan dari segi taktikal apabila berdepan Brazil,” kata Martinez. “Cara pemain melaksanakan taktik yang dirancang amat menakjubkan. Dalam tempoh dua hari pemain berjaya menyesuaikan diri dengan perubahan taktikal. Sememangnya saya amat berbangga.”

Brazil yang biasanya ampuh bertahan apabila hanya dibolosi enam gol daripada 25 perlawanan di bawah kendalian jurulatih Tite dilihat goyah sehingga dirobek dua kali pada aksi setengah jam pertama.

Pemain pertahanan Brazil Marcelo kerap terperangkap apabila cuba membantu bahagian atas apabila pemain Belgium beberapa kali melakukan serangan pantas.

Jaringan kedua adalah hasil serangan pantas di mana Lukaku melakukan larian di bahagian tengah sebelum melakukan hantaran buat De Brune di bahagian kanan untuk melakukan rembatan melepasi Alisson.

Ketika itu mimpi ngeri Brazil dibelasah Jerman 1-7 pada separuh akhir empat tahun lalu kembali terbayang.

Namun anak buah Tite cuba bangkit pada separuh masa kedua namun Belgium kental bertahan dengan menyerap segala asakan meskipun membenarkan pemain gantian Renato Augusto merapatkan kedudukan.

Thibaut Courtois juga cemerlang menafikan beberapa percubaan bahaya Brazil termasuk rembatan Neymar ketika empat minit sebelum tamat permainan.

Disiarkan pada: July 7, 2018 @ 7:49am
d