arena

Tite kunci mulut

KAZAN ARENA: Jurulatih Brazil Tite tidak memberi sebarang jawapan mengenai kedudukannya namun enggan menyalahkan mana-mana pihak selepas skuad juara lima kali itu tersingkir daripada Piala Dunia berikutan kekalahan kepada Belgium 2-1.

Empat tahun selepas drama kecederaan Neymar dan kekalahan memalukan 1-7 di tangan Jerman pada separuh akhir di laman sendiri, Brazil sekali lagi terpaksa menelan hakikat pulang awal mengikut jejak langkah jiran mereka, Argentina, Uruguay dan Colombia.

Brazil tidak tewas dalam 15 perlawanan terakhir di bawah kendalian Tite dengan hanya dibolosi tiga gol.

Nasib mereka dalam kempen kali ini tidak menentu pada 31 minit pertama apabila Fernandinho menghasilkan gol sendiri di minit ke-13 sebelum rembatan padu Kevin De Bruyne membuatkan Brazil dan Neymar bertambah derita.

Tite mengakui ia kekalahan yang amat 'pedih' namun enggan memberi sebarang kenyataan sama ada mahu meletakkan jawatan.

"Saya tidak mahu bercakap mengenai masa depan saya," kata jurulatih berusia 56 tahun itu.

"Saya akan melakukan penilaian mengenai perlawanan ini dan juga kempen kami kali ini namun saya tidak akan memberi sebarang komen kepada mana-mana individu. Cara ini tidak baik. Kami juga akan melihat konteks secara keseluruhan.

"Kami menguasai sebahagian besar permainan, mencipta banyak peluang tapi kurang berkesan. Belgium berya menyempurnakan peluang dengan baik untuk menghasilkan gol.

"Mereka bukan pasukan lebih hebat daripada kami di dalam padang cuma  permainan mereka berkesan."

Neymar yang dilihat berada di prestasi terbaik apabila meledak satu gol dan mencipta satu bantuan gol ketika menang 2-0 ke atas Mexico pada pusingan 16 pasukan terakhir gagal menyerlah meskipun berjaya menguji penjaga gol Belgium Thibaut Courtois di hujung permainan.

Sementara itu pemain pertahanan Real Madrid Marcelo menganggap kekalahan itu sebagai "malam yang mengerikan."

Dengan impian Brazil untuk memburu rekod enam kejuaraan Piala Dunia musnah, skuad Belgium kendalian Roberto Martinez pula menamatkan penantian 32 tahun untuk mara ke separuh akhir bertemu Perancis. -AFP

Disiarkan pada: July 7, 2018 @ 10:03am
d