arena

Brazil, Neymar tersungkur lagi

Oleh AFP

KAZAN, Russia: Empat tahun selepas isu kecederaan Neymar dan kekalahan memalukan Brazil sebagai tuan rumah pada aksi  separuh akhir, mereka sekali lagi gagal dalam misi sama di Russia.

Keadannya tidak sepatutnya menjadi begitu. Skuad kendalian Tite tersungkur pada aksi suku akhir, tewas kepada Belgium 1-2 di Kazan.

Mereka datang ke Piala Dunia dengan janji kebangkitan selepas diaibkan 1-7 kepada Jerman di Belo Horizonte dan mereka mempunyai pelbagai sebab untuk bersikap lebih optimis.

Ketika Jerman, Sepanyol dan Argentina tersingkir manakala Itali tidak menyertai kejohanan, laluan dilihat mudah buat Brazil untuk memburu gelaran keenam.

Sebaliknya skuad Tite bertemu lawan yang tidak dijangka buat pertama kali dan lawan itu, Belgium mara ke separuh akhir menentang Perancis.

Dalam empat edisi Piala Dunia sejak Selecao menjuarai kejohanan 2002 di Jepun dan Korea Selatan, mereka tersingkir tiga kali pada suku akhir.

Kemaraan ke separuh akhir sebagai tuan rumah adalah satu pengecualian tetapi peminat tedesak mahu melihat pasukan mereka bangkit daripada kekalahan memalukan  pada 2014.

Sewaktu Neymar mengalami kecederaan pada aksi suku akhir menentang Colombia di Fortaleza dan diusung keluar akibat retak tulang, ia memberikan petanda buruk buat skuad kendalian Luiz Felipe Scolari ketika itu.

Mereka menyangka jika empat tahun kemudian, Neymar yang cergas akan mencapai kemuncaknya dan mengganas di Russia.

Neymar kini berusia 26 tahun yang juga pemain termahal dunia kembali tetapi persiapan Brazil ke Piala Dunia banyak terganggu dengan pergelutan Neymar untuk kembali pulih daripada pembedahan patah tulang di kakinya.

Dia pulang selepas hanya menjaringkan dua gol dan impak terbesarnya pada Piala Dunia, selain tangisannya ketika menentang Costa Rica adalah lakonannya di padang. 

Disiarkan pada: July 7, 2018 @ 12:43pm
d