arena

Ramuan rahsia Belgium

Oleh Agensi

MOSCOW: Belgium menunjukkan ‘watak’ pasukan yang diperlukan untuk menjuarai Piala Dunia selepas menewaskan Brazil 2-1 pada suku akhir, jadi adakah keputusan itu meletakkan mereka sebagai pasukan pilihan?

Skuad Red Devils kendalian Roberto Martinez begitu hebat pada separuh masa pertama, mendahului 2-0 untuk mengekang kemaraan Brazil sebelum menunjukkan karakter yang kuat pada 15 minit terakhir sejurus jaringan Renato Augusto menjadikan babak akhir semakin mencabar.

Kemenangan itu hadir empat hari selepas mereka bangkit daripada ketinggalan 0-2 untuk menewaskan Jepun 3-2 pada peringkat 16 terakhir.

Mereka memiliki pemain berbakat namun persoalan dimainkan berlegar sama ada mereka memiliki mentaliti yang kuat.

Kebimbangan itu semakin terjawab apabila pengkritik yang juga bekas bintang Manchester United Rio Ferdinand berkata mereka adalah pasukan yang perlu ditundukkan di Russia.

Belgium mendominasi sejak awal permainan mendahului sebaik Fernandinho tertolak bola ke gawang sendiri sebelum Kevin de Bruyne meledak jaringan kedua menenerusi jaringan sejauh 25 ela.

“Keputusan itu sesuatu yang hebat,” kata Ferdinand.

“Mereka kelihatannya mempunyai beberapa pemimpin. Pasukan ini dipersoalkan atas mentaliti dan karakter mereka sebelum kejohanan ini, mereka kecewa sewaktu Euro dua tahun lalu.

“Generasi emas ini menjawab kritikan dengan cara terbaik. Bagaimana mereka menyingkirkan Brazil, bagaimana mereka memulakan perlawanan dan membuli pasukan yang bagus menunjukkan mereka mempunyai kesungguhan. Merekalah pasukan yang perlu ditundukkan.”

Belgium akan menentang Perancis dalam aksi pertama separuh akhir dengan bakinya akan ditentukan menerusi pertembungan di antara Sweden dan England serta Russia dan Croatia.

Jurgen Klinsmann, yang menjuarai Piala Dunia bersama Jerman Barat pada 1990, turut kagum.

“Ia satu persembahan yang menakjubkan. Mereka terus berjuang dan bertahan. Anda boleh lihat mereka mempunyai semangat sepasukan yang kuat. Mereka semakin hampir, Roberto Martinez menjalankan tugas yang menakjubkan.”

Disiarkan pada: July 7, 2018 @ 1:17pm
d