arena

Courtois jawab segala kritikan

Oleh Agensi

KAZAN ARENA: Thibaut Courtois menjawab segala kritikan yang dilemparkan kepadanya selepas cemerlang membantu Belgium menewaskan Brazil dalam aksi suku akhir Piala Dunia.

Courtois mengharungi musim sedikit hambar bersama Chelsea dalam saingan Liga Perdana apabila prestasi tidak menentunya mencetuskan spekulasi mengenai perpindahan ke kelab lain.

Namun dia mempamerkan kehebatannya sebagai bukti mengapa dia dilabel salah seorang penjaga gol terbaik di dunia selepas menyelamatkan beberapa percubaan lawan termasuk rembatan Neymar pada lewat permainan untuk Belgium mara ke separuh akhir Piala Dunia menerusi kemenangan 2-1.

“Saya tahu Neymar gemar melakukan sepakan lencong jadi saya sudah bersedia untuk menyelamatkan percubaan itu,” kata Courtois.

“Saya banyak dikritik secara tidak adil tahun ini tapi hari ini saya membuktikan kenapa saya layak berada di sini.

“Taktikal permainan kami hebat. Kami merasakan ini adalah hari kami. Ia impian sejak kecil untuk beraksi di Piala Dunia.

“Ia menakjubkan. Pasukan ini mahu menang setiap perlawanan, ketika menentang England ramai pihak berkata adalah lebih baik kami kalah daripada menang tapi kami mempunyai keyakinan dalam pasukan ini.”

Dengan kejutan ke atas juara lima kali Brazil itu, skuad Belgium kendalian Roberto Martinez yang menamatkan penantian 32 tahun untuk mara ke separuh akhir bakal bertemu Perancis.

Disiarkan pada: July 7, 2018 @ 2:14pm
d