arena

Ahmad Razif lepas jawatan presiden PBSNT

Oleh Malik Muhamad

KUALA TERENGGANU: Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman mengotakan janjinya apabila sah melepaskan jawatan sebagai Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) berkuat kuasa serta merta hari ini.

Perkara itu diumumkan sendiri mantan Menteri Besar Terengganu itu dalam Kongres Luar Biasa (EGM) PBSNT 2018 di sebuah hotel di Kuala Terengganu hari ini.

Berikutan peletakan jawatan Ahmad Razif itu, Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar secara automatik dilantik sebagai presiden PBSNT yang baharu berkuat kuasa serta-merta.

Hal ini berikutan 57 ahli gabungan PBSNT bersetuju sebulat suara melakukan pindaan dalam perlembagaan badan induk bola sepak negeri pada EGM itu. 

Ahmad Razif berkata, pindaan terhadap Artikel 33 dan 39  itu memperuntukkan jawatan presiden badan induk bola sepak negeri dikhususkan kepada Menteri Besar.  

"Pindaan ini juga memberi kuasa kepada presiden PBSNT untuk melantik timbalan presiden I yang kini sudah kosong berikutan peletakan jawatan penyandangnya, Datuk Wan Nawawi Wan Ismail pada Mei lalu. 

"Ia bertujuan memberi kekuatan kepada persatuan bola sepak ini untuk meneruskan kecemerlangan dalam kancah bola sepak tempatan," katanya.

Sebelum ini jawatan tertinggi termasuk presiden dan timbalan presiden PBSNT dipilih melalui pemilihan dalam Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) diadakan empat tahun sekali dan bukannya secara dilantik.

Pada Disember 2016, Ahmad Razif yang ketika itu Menteri Besar Terengganu memegang jawatan presiden dalam EGM bagi penggal 2017 hingga 2020 selepas penyandangnya, Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid meletak jawatan.

Disiarkan pada: July 7, 2018 @ 7:26pm
d