arena

Su-Wei tunjuk Simona 'pintu keluar'

Oleh AFP

LONDON: Pemain nombor satu dunia dan juga juara Terbuka Perancis, Simona Halep tersingkir daripada saingan Wimbledona hari ini, selepas tewas kepada pemain Taiwan, Hsieh Su-Wei 3-6, 6-4, 7-5 dalam pusingan ketiga di All England Club yang sekali lagi menyaksikan satu lagi korban pemain pilihan.

Kekalahan Halep bermakna Karolina Pliskova, yang juga pemain pilihan ketujuh, adalah satu-satunya pemain dalam kelompok 10 pemain pilihan yang mara ke pusingan keempat.

Ia turut memberi peluang kepada Serena William untuk merangkul kejuaraan Wimbledon buat kali kelapan.

Su-Wei, pemain nombor 48 dunia, bertarung selepas ketinggalan 2-5 dalam set terakhir dan menyelamatkan satu mata perlawanan apabila pemain Romania itu melakukan servis pada penentuan 5-3.

Ia juga adalah penampilan pertama Su-Wei pada pusingan 16 terakhir dalam kejohanan Slam apabila dia akan bertemu pemain Slovakia, Dominika Cibulkova bagi menempah tiket ke suku akhir.

“Ia adalah kemenangan pertama saya menentang pemain nombor satu dunia,” kata Su-Wei yang berumur 26 tahun.

“Ia adalah mengagumkan. Saya ketinggalan 2-5 dalam set terakhir tetapi penonton memberi semangat kepada saya untuk terus bersaing.”

Juara dua kali, Rafael Nadal pula mara ke pusingan 16 terakhir bagi kali kelapan bagi memastikan dia mengekalkan ranking satu dunia.

Nadal, juara 11 kali Terbuka Perancis dan memburu kejuaraan major ke-18 dalam kariernya, akan berdepan pemain Itali, Fabio Fognini atau Jiri Vesely dari Republik Czech bagi menempah tempat ke suku akhir.

“Ia adalah perlawanan yang positif dalam perlawanan menentang pemain yang mempunyai banyak tenaga,” kata Nadal yang juga juara 2008 dan 2010.

“Saya sangat gembira berada di pusingan keempat sekali lagi.”

Disiarkan pada: July 8, 2018 @ 12:04am
d