arena

Rakitic impi lebih jauh

Oleh AFP

IVAN Rakitic menaruh harapan mampu melangkah lebih jauh berbanding skuad Croatia 1998 yang mara ke separuh akhir Piala Dunia pada edisi tahun itu.

Pemain tengah Barcelona itu menjaringkan gol penting menerusi sepakan penalti untuk membolehkan Croatia menewaskan Russia 4-3 dalam penentuan penalti selepas aksi dramtik suku akhir yang menyaksikan kedua-dua pasukan terikat 2-2 apabila tamat masa tambahan.

"Kami bermain dengan bersungguh-sungguh dan memberikan semua yang ada untuk ke separuh akhir. Saya fikir, bagi negara seperti Croatia , ia adalah mengagumkan dan kami mahu terus melangkah jauh," katanya.

"Kami mahu menikmati kemenangan ini dan tidak meletakkan tekanan kepada diri sendiri dengan apa yang dicapai pada edisi 1998. Apa yang mereka lakukan adalah mengagumkan, namun kami mahu melakar sejarah sendiri dan menikmatinya dengan cara positif.” 

Croatia akan bertemu England pada separuh akhir di Moscow pada awal pagi Khamis dengan misi mengatasi pencapaian 20 tahun lalu. Ketika itu mereka tewas kepada tuan rumah, Perancis di separuh akhir.

"Saya harap kami mampu mengatasi pencapaian mereka. Generasi mereka adalah hero kepada kami," tambah Rakitic.

Croatia mempamerkan kebangkitan di Sochi dengan Andrej Kramaric menyamakan jaringan pembukaan Denis Cheryshev sekaligus perlawanan berakhir 1-1 tamat 90 minit.

Kemudian Domagoj Vida meletakkan skuad kendalian Zlatko Dalic mendahului pada masa tambahan, namun Mario Fernandes menyamakan kedudukan 2-2 pada minit ke-115.

Bagaimanapun, Rakitic memastikan Croatia menang penentuan penalti, kejayaan kedua berturut-turut selepas menewaskan Denmark di pusingan kedua dengan cara yang sama.

Mereka perlu segera cergas untuk aksi menentang England yang terlebih dulu menewaskan Sweden 2-0.

"Kami menikmati aksi menentang pasukan ternama seperti yang kami pamerkan ketika menentang Argentina," jelas pemain pertahanan, Dejan Lovren.

"England adalah pilihan menjuarai Piala Dunia dan anda perlu menghormatinya, namun tiada sebarang kerugian bagi kami. Kami akan menikmati perlawanan dan berharap dapat melakar sejarah."

Disiarkan pada: July 8, 2018 @ 8:57am
d