arena

Arsenal mahu segera dapatkan Torreira

Oleh Agensi

ARSENAL bersetuju untuk membayar £26.5 juta (RM142.2 juta) kepada Sampdoria untuk mendapatkan khidmat pemain tengah berusia 22 tahun, Lucas Torreira.

Torreira pada mulanya dijangka menjalani ujian perubatan bersama Arsenal ketika saingan Piala Dunia di Russia bagaimanapun dia menolak tawaran skuad Gunners itu.

Dan berdasarkan laporan Football London, Arsenal berharap untuk melengkapkan perpindahan Torreira itu pada hujung minggu depan selepas Uruguay tersingkir daripada kempen Piala Dunia Jumaat lalu.

Arsenal membenarkan Torreira untuk pulang ke negara asalnya Uruguay jika pemain itu mahu, namun dia perlu terbang ke London terlebih dahulu untuk melengkapkan ujian perubatan dan menandatangani kontrak selama empat tahun.

Torreira secara terbuka membuat kenyataan mengenai isu perpindahannya ke kelab London apabila mendedahkan keputusan untuk menolak permintaan Arsenal bagi membolehkan ujian perubatan itu dilakukannya sendiri.

Ketika ditanya adakah dia mahu melakukan ujian perubatan selepas kempen Piala Dunia, Torreira berkata: "Ya, kita boleh melakukannya dengan cara berbeza, tapi saya belum mahu memikirkan perkara lain.

"Piala Dunia penting dan menjadi sebahagian daripada skuad ini amat bermakna buat saya. Tapi sekarang saya mempunyai masa untuk memikirkan masa depan lebih jelas."

Torreira bakal menjadi pemain keempat ditandatangani pengurus baru Arsenal, Unai Emery selepas Stephan Lichtsteiner, Bernd Leno dan Sokratis Papastathopoulos.

 

Disiarkan pada: July 8, 2018 @ 1:11pm
d