arena

Bersara lebih baik dari jadi 'kambing hitam'

Oleh AFP

BAPA kepada Mesut Ozil memaklumkan bahawa anaknya itu seharusnya tidak lagi mewakili skuad Jerman selepas dia dijadikan ‘kambing hitam’ oleh skuad Die Mannschaft berikutan kegagalan mereka yang tewas mengejut di pusingan pertama Piala Dunia.

Ozil, 29, menerima kritikan hebat di Jerman selepas juara dunia itu terkeluar seawal pusingan pertama di Russia dan menamatkan aksi di kedudukan tercorot kumpulan.

Tekanan semakin memuncak apabila pemain tengah Arsenal dilanda kontroversi berhubung gambarnya bersama Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan tersebar seterusnya menimbulkan persoalan kesetiaannya terhadap Jerman.

Khamis lalu Pengurus pasukan, Oliver Bierhoff mengeluarkan satu kenyataan yang merujuk kepada Ozil yang mempunyai kaitan dengan Turki seharusnya digugurkan selepas gagal menjelaskan secara terbuka pertemuannya bersama Erdogan.

“Kenyataan itu tidak masuk akal. Pada pendapat saya ia bertujuan untuk menyelamatkan diri sendiri,” kata bapa kepada pemain tengah itu, Mustafa Ozil.

Bierhoff kemudiannya memohon maaf dan mengatakan beliau ‘salah’.

Bapa Ozil berkata, dia percaya anaknya bersetuju untuk mengambil gambar bersama Erdogan hanya kerana memenuhi permintaan dan ia tidak bermaksud untuk menjadi satu kenyataan berbaur politik.

Dia bersetuju dengan tindakan Ozil yang tidak memberi sebarang komen berhubung situasi itu.

“Dia tidak mahu menjelaskan perkara itu, dia tidak lagi mahu mempertahankan dirinya setiap masa. Dia bermain untuk Jerman selama sembilan tahun termasuk dinobatkan juara dunia bersama kesebelasan utama.

“Banyak yang dia sumbangkan untuk negara. Jika kita menang, kita menang bersama. Tapi bila kami tewas, kami tewas kerana Ozil? Dia sudah tidak peduli lagi apabila dijadikan kambing hitam. Saya faham jika dia rasa terhina,” kata bapa pemain tengah itu.

Mengulas mengenai layanan yang diterima oleh anaknya itu ‘sangat tidak adil,’ bapa Ozil berkata “dia perlu membuat keputusan untuk dirinya sendiri, tapi jika saya berada di tempat dia, saya akan kata - terima kasih banyak tapi cukup setakat ini!”

“Kekecewaannya semakin menebal dan siapa tahu apa yang akan berlaku pada perlawanan seterusnya. Jika saya di tempat Mesut saya akan berhenti saja tapi itu hanya pandangan saya,” katanya.

Disiarkan pada: July 8, 2018 @ 8:33pm
d