arena

Ramalan Mourinho tak menjadi

Oleh Agensi

JOSE Mourinho sering didakwa mempunyai pandangan daripada sudut berbeza apabila mempertahankan pasukannya jika mereka mempamerkan aksi hambar.

Kini, beliau perlu melihat sendiri empat pasukan yang jauh berbeza apabila tersilap meramal semua pasukan yang bakal beraksi di separuh akhir Piala Dunia di Russia.

Pengurus Manchester United itu dengan penuh berani meramalkan pasukan mana bakal melepasi peringkat kumpulan Piala Dunia dan setiap keputusan perlawanan kalah mati selepas itu.

Akhirnya kini, beliau sepatutnya memberi lebih kepercayaan kepada dua bintang Old Trafford iaitu penyerang Belgium Romelu Lukaku dan bintang England Jesse Lingard dan bukannya pasukan yang diramal beliau ke separuh akhir iaitu Portugal, Argentina, Brazil dan Jerman.

Mourinho dikatakan meramalkan dengan tepat dua pasukan teratas daripada tiga kumpulan namun pada peringkat ini lagi Mourinho sudah melakukan beberapa kesilapan.

Beliau meramalkan Australia bakal mara tetapi Socceroos jatuh ke tangga tercorot Kumpulan C di belakang Perancis, Denmark dan Peru dengan hanya satu mata.

Paling dramatik, beliau menjangka Jerman mampu menyertai 16 pasukan terakhir sedangkan hakikatnya mereka terlepas pusingan kedua buat kali pertama sejak 1939.

Ia turut menunjukkan kesilapan dilakukan ‘The Special One’ apabila sebelum perlawanan peringkat kumpulan lagi, beliau meramalkan pasukan mana mampu menang tanpa balas sehingga ke separuh akhir.

Beliau meramalkan dengan tepat 11 daripada 16 pasukan terakhir dan empat daripada suku akhir tetapi hanya satu saja kemenangan tanpa balas  iaitu apabila Brazil menewaskan Mexico.

Untuk aksi suku akhir, Mourinho membayangkan Portugal menewaskan Perancis, Argentina mengecewakan Sepanyol, Brazil menewaskan England dan Jerman menyingkirkan Belgium.

Mengenai perlawanan ‘tumpuan’ membabitkan skuad Lionel Messi dan Perancis yang diterajui Antoine Griezmann, Mourinho berkata: “Wow! Pasukan terbaik menentang pasukan bagus dengan pemain bertubuh kecil, saya pilih mereka.”

Sementara dalam perlawanan England menentang bintang Samba, beliau yakin pemainnya seperti Lingard, Marcus Rashford dan yang lain akan pulang awal.

“Ia perlawanan yang besar dan tidak keterlaluan jika saya katakan pemain saya akan pergi bercuti. Jerman adalah Jerman dan ini satu lagi separuh akhir buat mereka.”

Malang sekali, kini Mourinho terpaksa menyaksikan England dengan empat pemain United berdepan Croatia dalam aksi separuh akhir dan sebelum itu pemain termahal Old Trafford Paul Pogba akan menentang Belgium yang dibarisi Lukaku dan Marouane Fellaini.

 

Disiarkan pada: July 9, 2018 @ 9:08am
d