arena

Lukaku mahu jadi pemain serba boleh

Oleh Agensi

KAZAN, Russia: Tonggak utama Belgium, Romelu Lukaku semakin hampir dengan impiannya menjadi pemain bola sepak serba boleh apabila mencipta gerakan untuk Kevin De Bruyne menjaringkan gol penting menewaskan Brazil pada aksi suku akhir Piala Dunia, Jumaat lalu.

Penyerang bertenaga itu mempamerkan kepantasan ketika mengatasi pertahanan Brazil selepas Belgium merampas bola daripada gerakan sepakan percuma sebelum membuat hantaran kepada De Bruyne untuk melepaskan rembatan kencang ke pintu gol.

Jaringan itu memastikan Belgium mendahului 2-0 pada babak pertama dan walaupun Brazil berjaya merapatkan kedudukan selepas bersambung separuh masa kedua, skuad kendalian Roberto Martinez itu ampuh bertahan untuk mara ke separuh akhir buat kali kedua dalam sejarah Piala Dunia.

“Semua orang fikir Romelu Lukaku hanya mahu menjaringkan gol, gol gol,” kata bintang Manchester United itu.

“Tapi sebenarnya saya mahu menjadi pemain serba boleh. Mencipta bantuan gol juga penting dan tahun ini saya membantu rakan menjaringkan gol lebih banyak berbanding tahun-tahun sebelum ini.

“Sudah pasti saya mahu menghasilkan gol tapi pada masa yang sama, saya perlu berusaha keras sedaya yang boleh untuk bantu pasukan. Saya tak perlu buktikan kemampuan saya menjaringkan gol lagi.

“Semua orang tahu saya boleh menjaringkan gol dengan setiap peluang yang diberikan kepada saya dalam kotak penalti. Tapi bukan itu saja sumbangan yang saya boleh berikan.”

Sementara itu bagi De Bruyne, kejayaan mara ke separuh akhir tidak akan bermakna jika barisan generasi emas Belgium gagal merangkul kejuaraan.

“Bola sepak adalah untuk mengejar kejuaraan dan saya hanya akan memori yang hebat jika memenangi trofi. Menjaringkan gol menentang Brazil bukan detik terbaik dalam karier saya.

“Kami masih belum memenangi Piala Dunia. Jadi kami perlu menang dua lagi perlawanan,” katanya.

Disiarkan pada: July 9, 2018 @ 12:01pm
d