arena

Hazard pilihan kedua Real selepas Neymar

Oleh Agensi

KECEMERLANGAN Eden Hazard membawa Belgium mara ke separuh akhir Piala Dunia menjadikan penyerang itu berada dalam pelan B pada Real Madrid andai perpindahan Neymar tidak kesampaian.

Saham bintang Chelsea itu meningkat selepas menjadi watak penting buat pasukannya menewaskan Brazil pada Jumaat lalu, sekali gus menenggelamkan kehebatan bintang skuad Canarinha termasuk Neymar.

Neymar sudah lama menjadi pemain idaman Presiden Real Madrid, Florentino Perez dan bekas penyerang Barcelona itu dilihat bakal menyertai skuad Galactico.

Dengan Cristiano Ronaldo dikatakan bakal berpindah ke Juventus, ia memberi ruang untuk Neymar menjadi bintang baru bersama kelab gergasi Sepanyol itu.

Bagaimanapun ia pasti sukar untuk memujuk Paris Saint-Germain melepaskan pemain yang dibeli dengan rekod perpindahan selepas hanya semusim.

Jadi Real Madrid pasti mahu mencari alternatif lain.

Radar kelab itu kini terarah kepada Hazard, 27, yang memiliki pengalaman luas serta kelincahan yang bakal memikat hati penyokong skuad Los Blancos. 

Malah, seluruh dunia tertumpu kepada Hazard apabila kini meneruskan kempen Piala Dunia di Russia sedangkan Neymar dan Brazil sudah tersingkir.

"Jika saya mendapat keputusan yang baik di Piala Dunia, ia akan memudahkan saya," kata tonggak Belgium itu sebelum kejohanan bermula.

"Real Madrid berminat dengan saya, semua orang tahu mengenai perkara itu dan jika mereka tidak berminat, mereka tidak akan bercakap mengenainya. Jika mereka mahukan saya, mereka tahu apa yang perlu dilakukan."

Disiarkan pada: July 9, 2018 @ 12:58pm
d