arena

Satu pasukan saja akan tersingkir

Oleh Zulfaizan Mansor

KUALA LUMPUR: Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengumumkan hanya satu pasukan Liga Perdana akan tersingkir ke Piala Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), musim depan.

Ia susulan badan pengelola Liga Malaysia (Liga M) itu sudah membatalkan penyertaan Kuantan FA dalam Liga Perdana pada April lalu.

MFL dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan keputusan itu dibuat bagi mengekalkan bilangan pasukan yang dinaikkan dan diturunkan seperti dilakukan sebelum ini.

Katanya, tindakan itu juga diambil bagi memelihara tahap daya saing yang lebih kompetitif dalam Liga Perdana.

“Keputusan ini juga dibuat bagi mengelakkan penurunan kualiti sedia ada jika jumlah pasukan yang dinaikkan ke Liga Perdana tidak diselaraskan.

“Sehubungan dengan itu, pasukan ke-11 (di kedudukan terakhir) dalam Liga Perdana akan diturunkan bersama Kuantan FA. Bermakna pasukan ini merangkumi dua pasukan yang akan mengalami penyingkiran pada hujung musim.

“Seperti yang sudah ditetapkan, pasukan yang berada di tempat pertama dan kedua Piala FAM pula akan dinaikkan ke Liga Perdana musim depan,” kata MFL.

Penyertaan Kuantan FA dibatalkan serta merta oleh MFL selepas melakukan kesalahan tidak hadir ke Stadium Shah Alam pada 15 April lalu yang menyaksikan kemenangan percuma 3-0 diberikan kepada lawan mereka, PDRM.

Disiarkan pada: July 9, 2018 @ 3:43pm
d