arena

Perlu formula baharu

Oleh Helmi Talkah

KUALA LUMPUR: Beregu campuran negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying mengakui mereka perlu segera mencari formula baharu bagi menewaskan pasangan Indonesia, Tontowi Ahmad-Liliyana Natsir yang kemungkinan besar bakal menjadi lawan mereka sekali lagi pada Kejohanan Dunia dan Sukan Asia 2018.

Semalam, Peng Soon-Liu Ying terus gagal menamatkan badi kekalahan di tangan Tontowi-Liliyana apabila tewas pada final Terbuka Indonesia yang diibaratkan sebagai aksi ulangan final Olimpik Rio 2016.

Ia adalah kekalahan ke-10 Peng Soon-Liu Ying di tangan pasangan nombor tiga dunia itu dalam 11 pertemuan termasuk final Olimpik Rio 2016 yang menyaksikan mereka meraih pingat perak.

“Setiap kali kami menentang mereka, semua strategi yang kami guna tidak menjadi. Mereka seperti sudah membaca corak permainan kami dan itu memberi kesukaran kepada kami setiap kali menentang mereka.

“Jadi, ada lebih kurang tiga minggu sebelum Kejohanan Dunia bermula, kami perlu berusaha untuk mencari cara baharu untuk menentang mereka. Kami harap boleh menamatkan kemarau kemenangan kami ke atas mereka jika bertemu sekali lagi,” kata Peng Soon.

Kejohanan Dunia akan berlangsung di Nanjing, China bermula 30 Julai hingga 5 Ogos ini manakala Sukan Asia yang diadakan di Jakarta akan membuka tirai saingannya 18 Ogos hingga 2 September.

Mengulas lanjut, Peng Soon walaupun gagal bergelar juara Terbuka Indonesia namun mereka tetap gembira dengan prestasi sepanjang kejohanan itu terutama berjaya menumbangkan pasangan nombor satu dunia, Wang Yilyu-Huang Dongping di suku akhir dan nombor dua dunia, Zheng Siwei-Huang Yaqiong di separuh akhir.

“Kami gembira kerana berjaya melakar kejutan ke atas pasangan terbabit. Ia meningkatkan lagi tahap keyakinan untuk menghadapi kejohanan seterusnya terutama Kejohanan Dunia hujung bulan ini,” kata Peng Soon.

Walaupun tewas di final, Peng Soon-Liu Ying mencipta sejarah tersendiri apabila menjadi beregu campuran pertama Malaysia berjaya mara ke final Terbuka Indonesia.

Disiarkan pada: July 9, 2018 @ 6:29pm
d