arena

Kami sedia 'diserang' Belgium

Oleh Reuters

ST PETERSBURG: Jurulatih Perancis, Didier Deschamps menegaskan anak buahnya kini sudah bersiap sedia untuk menghadapi strategi taktikal mengejutkan oleh 'musuhnya' Roberto Martinez dalam aksi separuh akhir menentang Belgium awal pagi esok.

Belgium pasukan paling banyak menjaringkan gol pada kejohanan kali ini dan Martinez merombak taktikalnya ketika mereka menewaskan Brazil di suku akhir, dengan mengubah posisi Romelu Lukaku bagi membolehkan Kevin de Bruyne bergerak secara lebih bebas sebagai 'pemain nombor sembilan palsu'.

Taktik berkenaan berhasil apabila pemain Belgium mengimbangi kekuatan Brazil dan pada masa sama membolehkan Lukaku and Eden Hazard melepasi barisan pertahanan lawan dan menjaringkan gol.

De Bruyne berjaya memanfaatkan ruangan terbuka pemain tengah Brazil untuk menjaringkan gol pertamanya di Piala Dunia sekali gus membantu Belgium meraih kemenangan 2-1.

Dengan  Thomas Meunier digantung untuk aksi separuh akhir Martinez sudah pasti terpaksa membuat pertukaran sekurang-kurangnya seorang pemain.

"Belgium tidak layak ke tahap ini kerana kebetulan atau nasib semata-mata. Mereka menunjukkan mutu permainan baik ketika menewaskan Brazil dengan taktik bola sepak yang spesifik. Jadi mereka boleh melakukannya terhadap kami," kata jurulatih berusia 49 tahun kepada pemberita ketika sidang media di sini, hari ini.

"Pasukan mereka sedang meningkat naik. Mereka terus meningkatkan kualiti dan Martinez berjaya menguatkan barisan pemain tengah sehingga pemain Brazil tidak boleh bergerak bebas di kawasan terbabit.

"Mereka juga boleh menggunakan taktik serang balas yang cepat, jadi saya memastikan pemain saya bersedia untuk sebarang senario dari permulaan perlawanan dan semasa perlawanan juga jika ia berubah."
Deschamps menambah Martinez juga boleh memanfaatkan kekuatan fizikal dan asas yang kukuh ditinggalkan oleh bekas jurulatih Marc Wilmots, yang dipecat selepas Belgium kalah kepada Wales di peringkat suku akhir Euro 2016.

Disiarkan pada: July 10, 2018 @ 4:31am
d