arena

Nishikori jangka 'perang besar' dengan Djokovic

Oleh AFP

KEI Nishikori muncul selaku pemain Jepun lelaki pertama yang mara ke suku akhir Wimbledon selepas 23 tahun tatkala dia menjangkakan ‘peperangan’ dengan Novak Djokovic bagi memburu slot ke pusingan empat terbaik.

Nishikori, 28, mengatasi masalah kecederaan lengan untuk melangkah ke suku akhir pertamanya di Kelab All England dengan meraih kemenangan 4-6, 7-6 (7/5), 7-6 (12/10), 6-1 ke atas pemain Latvia, Ernests Gulbis.

Biarpun muncul lelaki pertama Jepun mara ke suku akhir sejak Shuzo Matsuoka melakukannya pada 1995, Nishikori kini perlu mengatasi rekod kekalahan 13-2 di tangan juara tiga kali Djokovic, esok.

“Dia seperti satu peperangan besar buat saya. Saya sentiasa menikmati permainan menentangnya. Ia sentiasa menjadi satu cabaran besar,” kata Nishikori.

Pemain Jepun itu sudah pun tewas dua kali kepada bekas nombor satu dunia itu tahun ini - di gelanggang tanah liat di Madrid dan Rom.

Meskipun masing-masing belum pernah bertemu di gelanggang rumput, Nishikori masih kekurangan pengalaman apatah lagi dua daripada kemenangannya ke atas pemain pemain Serbia itu ialah pada 2014 dengan paling manis, menewaskannya di separuh akhir di Terbuka Amerika Syarikat.

“Mungkin saya tidak meraih keputusan yang baik ataupun rekod baik dengannya tetapi sentiasa menikmati permainan dengannya. Dia antara pemain terbaik dalam jelajah.”

Menambahkan lagi cabaran perlawanan nanti adalah masalah kecederaan lengan kanan dialami Nishikori yang menyaksikan dirinya memerlukan rawatan ketika meraih kemenangan ke atas Gulbis - pemain yang menyingkirkan pilihan keempat, Alezander Zverev di pusingan ketiga.

“Siku saya sedikit mengganggu permainan,” akui Nishikori.

“Daripada kedua, ia semakin baik dan saya hanya cuba kekal tenang dan berjuang dalam setiap permainan.”

Disiarkan pada: July 10, 2018 @ 9:54am
d