arena

Selangor rombak kesebelasan utama

Oleh Syafiq Aznan

KUALA LUMPUR: Naib juara Piala FA, Selangor dijangka melakukan rombakan dalam kesebelasan utama untuk berdepan pasukan tercorot liga, Kelantan pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, malam esok.

Pengendali The Red Giants, Nazliazmi Nasir menjelaskan beliau mahu memberi peluang kepada pemain lain untuk membuktikan keupayaan memandangkan sudah menurunkan hampir keseluruhan pemain pasukan itu bagi saingan musim ini.

“Kita sudah gunakan semua pemain yang kita ada kecuali dua pemain iaitu penjaga gol ketiga, Haziq Ridwan dan pertahanan, Syukri Azman.

“Selain itu, saya lihat pemain yang tidak dapat diturunkan pada perlawanan akhir Piala FA juga bersemangat untuk meneruskan baki saingan musim ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Dalam masa sama, Nazliazmi turut optimis anak buahnya sudah dapat melupakan kekecewaan terlepas untuk merangkul Piala FA, Sabtu lalu dan menyasarkan untuk meletakkan pasukan itu berada dalam kelompok yang lebih baik.

“Semua pemain perlu melupakan kekalahan ini dan sebenarnya, jika dinilai berdasarkan beberapa aksi sebelum ini, pasukan sudah menunjukkan momentum dan peningkatan dari segi permainan.

“Justeru, saya mengharapkan pemain yang diberi peluang sentiasa menunjukkan konsentrasi dan kesungguhan supaya dapat memberi impak yang lebih baik dalam usaha membantu pasukan menghuni kedudukan yang lebih baik,” katanya.

Setakat 17 perlawanan Liga Super yang diharungi, skuad Merah Kuning itu menghuni tangga ketujuh liga selepas menghimpun 20 mata menerusi lima kemenangan dan lima keputusan seri selain turut menjaringkan 24 gol namun dibolosi 28 gol.

Selesai aksi bertemu skuad The Red Warriors malam esok, mereka akan melayan kunjungan seteru tradisi, Kuala Lumpur di laman sendiri, Ahad ini dengan aksi akhir di laman sendiri adalah bertemu Terengganu pada 28 Julai.

Selepas bertemu Kuala Lumpur, mereka akan mengharungi tiga aksi di laman lawan iaitu Negeri Sembilan (18 Julai), Melaka United (21 Julai) dan juga aksi yang terpaksa ditangguhkan sebelum ini iaitu menentang PKNP FC pada 24 Julai.

Disiarkan pada: July 10, 2018 @ 5:43pm
d