arena

Semangat karate kibar bendera Malaysia

Oleh Mohd Khairie Khalid

ATLET karate negara, Syakilla Salni Jefry Krisnan diberi pengiktirafan tertinggi apabila dipilih selaku pembawa bendera Malaysia di temasya Sukan Asia, Indonesia, bulan depan.

Syakilla mengetepikan lima calon lain yang tersenarai iaitu Datuk Lee Chong Wei dari sukan badminton, Datuk Nicol David (skuasy), Pandelela Rinong (terjun), S Kumar (hoki) dan Khairulnizam Mohd Affendy (pelayaran).

Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berkata berdasarkan keputusan, mesyuarat bersetuju melantik Syakilla dan memberi pengiktirafan kerana sukan karate turut akan dipertandingkan di Sukan Olimpik Tokyo 2020.

“Pada mesyuarat hari ini kita bersetuju melantik pembawa bendera di Sukan Asia, iaitu Syakilla Salni daripada sukan karate, memberi ruang kepada muka baharu untuk peranan ini.

“Dia juga berada di ranking nombor satu karate di Asia, memenangi pingat emas di Sukan Asia 2014 dan Sukan SEA Kuala Lumpur, baru-baru ini. Kita beri pengiktirafan kepada beliau kerana karate juga akan dipertandingkan di Olimpik akan datang,” kata Norza pada sidang media selepas Mesyuarat Lembaga Eksekutif MOM, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Norza berharap sebagai seorang pembawa bendera, ia bukan saja menjadi titik tolak kecemerlangan atlet berkenaan di Sukan Asia tetapi dapat dibawa sehingga Sukan Olimpik Tokyo nanti.

Disoal sama ada pihaknya sudah mempunyai sasaran pingat di Sukan Asia kali ini, Norza menjelaskan MOM perlu menanti perbincangan dengan pihak kementerian, terutama Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman terlebih dulu.

Dalam pada itu, Norza turut memaklumkan pihaknya akan menjemput Menteri untuk menghadiri Mesyuarat Majlis yang pertama yang dijadualkan pada Sabtu ini.

“Kita akan jemput YB Saddiq untuk menghadiri Mesyuarat Majlis yang pertama dan ia adalah peluang kepada semua kepimpinan MOM dan persatuan sukan untuk bertemu menteri, dan kalau boleh timbalan menteri juga,” kata Norza.

Sukan Asia di Jakarta dan Palembang, Indonesia dijadual berlangsung pada 18 Ogos hingga 2 September ini.

Disiarkan pada: July 10, 2018 @ 9:20pm
d