arena

'Masa depan hang ada di Gunners...'

Oleh AFP

LONDON: Arsenal mendapat ‘bakat yang cerah’ menerusi kejayaan menyambar perancang tengah Uruguay Lucas Torreira, kata pengurus The Gunners, Unai Emery hari ini.

Pemain berusia 22 tahun itu yang menjadi pemain keempat ditandatangani Emery dilaporkan menelan kos bernilai £27 juta (RM144 juta) untuk disambar daripada Sampdoria.

Torreira yang tempoh kontraknya tidak didedahkan Arsenal beraksi baik di Piala Dunia sekali gus diturunkan dalam semua perlawanan sebelum pasukannya tersingkir di suku akhir kepada Perancis 2-0.

“Menerusi Lucas Torreira, kami menandatangani pemain muda yang amat berbakat besar dalam bola sepak,” kata Emery kepada laman web Arsenal.

“Seorang pemain tengah dengan kualiti yang hebat, saya begitu menikmati persembahannya untuk Sampdoria sejak dua musim lalu dan dia juga beraksi baik buat Uruguay di Piala Dunia.

“Dia seorang pemain muda dengan pengalaman yang hebat, tetapi masih ingin terus kembangkan bakat. Kami mengalu-alukan kedatangan Lucas ke Arsenal.”

Kehadirannya akan mengisi kekosongan bahagian tengah The Gunners yang tidak menyambung kontrak dua tonggak berpengalaman, Jack Wilshere dan Santi Cazorla.

Torreira yang sudah bersama Sampdoria tiga tahun berkata, dia tidak cemas dengan cabaran menantinya untuk beraksi buat sebuah pasukan yang bersejarah di England.

“Saya rasa tenang,” kata Torreira dalam temubual pertamanya bersama pasukan media Arsenal.

“Saya boleh menangani situasi ini dengan cara terbaik. Ia sesuatu yang positif apabila pasukan begitu mengalu-alukan kedatangan anda. Ia membuatkan saya rasa selesa.”

Torreira menyertai pertahanan Switzerland, Stephan Lichtsteiner, Bernd Leno (penjaga gol Jerman) dan Sokratis Papastathopouloss (pertahanan Greece) sebagai muka baharu di The Emirates.

Disiarkan pada: July 10, 2018 @ 11:59pm
d