arena

'Saya kecewa prestasi City Boys'

Oleh Malik Muhamad

KUALA TERENGGANU: "Saya sangat sedih dan kecewa dengan persembahan pemain pada perlawanan semalam," kata ketua jurulatih Kuala Lumpur, Fabio Maciel.

Beliau berkata selepas skuadnya mendahului tuan rumah akhirnya tewas 1-3 kepada Terengganu FC (TFC) dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam tadi.

"Saya memang jangkakan permainan yang baik seperti dipamer pemain terutama pada babak pertama perlawanan walaupun ada kalanya dapat dilihat sangat sukar buat pemain untuk mendapatkan jaringan pada babak pertama.

"Namun selepas mendahului, kita bolos hasil gerakan satu dua pihak lawan yang tidak sepatutnya berlaku kerana kita sudah berlatih tapi akhirnya berlaku juga," kata Maciel.

Dalam aksi itu, penyerang sensasi skuad warga kota, Paula Guilherme menghukum kealpaan benteng pertahanan skuad Penyu apabila meledak gol pendahuluan m-32.

Bagaimanapun kebangkitan pasukan tuan rumah bermula pada lewat babak pertama menyebabkan skuad kendalian Maciel tersungkur sekali gus gagal melebar rekod kemenangan ke atas skuad Penyu itu.

Mengulas lanjut, Maciel menuntut pemainnya bekerja lebih keras sepanjang masa termasuk ketika latihan dalam misi mengutip sekurang-kurangnya lapan mata dengan baki empat perlawanan liga.

"Pemain perlu kurangkan kesalahan dengan baki perlawanan itu, sebaliknya perlu fokus untuk kutip mata selain harus bertanggungjawab apabila beraksi di atas padang," katanya.

Disiarkan pada: July 11, 2018 @ 2:45pm
d