arena

Terima kasih, kami akan ingat - Ramos

Oleh Agensi

MADRID: Kapten Real Madrid, Sergio Ramos memberi penghargaan kepada bekas rakan sepasukan, Cristiano Ronaldo selepas bintang sensasi itu membuat keputusan mengejut menyertai kelab gergasi Itali, Juventus. 

Los Blancos mengesahkan Ronaldo meninggalkan Madrid untuk ke Turin malam tadi, dengan nilai perpindahan 88 juta pound (RM470 juta) selepas Presiden Juventus, Andrea Agnelli berlepas ke Greece untuk berjumpa penyerang itu dan membincangkan perjanjian perpindahan berkenaan. 

Ramos, yang beraksi bersama Ronaldo selama sembilan musim di Bernabeu, mengetuai rakan lain dengan memberi ucapan terima kasih kepadanya selepas sah meninggalkan kelab berkenaan. 

"Jumlah gol dan semuanya yang dimenangi bersama membuktikan kepada mereka mengenai kehebatan kita. 

"Anda sudah mendapat tempat istimewa dalam sejarah Real Madrid sebagai ‘Madridistas’ dan kami akan sentiasa mengingati anda. Ia satu penghormatan bermain di samping anda. Selamat maju jaya," tulis Ramos dalam akaun Twitter miliknya dengan disertakan gambar bersama Ronaldo meraikan kejayaan. 

Gareth Bale juga tampil memberikan penghormatan apabila menyifatkan Ronaldo dalam akaun Instagram miliknya sebagai seorang pemain luar biasa. 

"Pemain hebat. Satu penghormatan bermain di samping anda dalam tempoh lima tahun. Selamat maju jaya kawanku," kata Bale.

Pemain tengah, Marco Asensio pula menganggap Ronaldo berjaya memberikan contoh terbaik buatnya dan dijadikan rujukan buat pemain muda. 

"Satu kebanggaan dapat bermain di sampingnya, anda sentiasa menjadi contoh dalam apa jua perkara. Saya mengucapkan selamat maju jaya di tempat baharu," kata Asensio dalam Twitter. 

Ronaldo berjaya menyumbat 450 gol dalam 438 penampilan bersama Madrid dalam keseluruhan kejohanan, dengan memenangi empat kejuaraan Liga Juara-Juara dan empat kali merangkul trofi La Liga dalam tempoh sembilan musim bersama gergasi Sepanyol itu. 

Bekas rakan sepasukannya di Madrid yang sekarang ini bersama Juventus, Sami Khedira juga memberi reaksi mengenai keputusan Ronaldo tatkala dia bersedia untuk berganding semula dengan pemenang lima kali Ballon d'Or itu. 

"Selamat datang ke Turin Cristiano. Kita melalui saat gemilang di Madrid. Sekarang saya tidak sabar untuk bekerjasama dengan anda. Hari ini ialah hari istimewa buat Juventus," katanya. 

Real malam tadi mengumumkan perpindahan Ronaldo ke Juventus, dengan bintang Portugal itu mengatakan masanya sudah tiba ‘untuk membina karier baharu’. 

"Hari ini, Real Madrid mahu berterima kasih kepada pemain yang sudah membuktikan dia adalah pemain terbaik di dunia dan menempuh satu daripada tempoh paling cemerlang dalam sejarah kelab kami,” kata kelab itu dalam satu kenyataannya. 

Bagaimanapun, Real tidak mendedahkan nilai sebenar perpindahan terbabit tetapi media Sepanyol melaporkan ia mungkin mencapai 105 juta euro (RM494.65 juta) dengan pemain berusia 33 tahun itu menandatangani kontrak selama empat tahun bernilai 30 juta euro (141.27 juta) semusim.

Disiarkan pada: July 11, 2018 @ 5:42pm
d