arena

Yob kena sapu bersih tiga mata

Oleh Azizan Hashim

PERAK tiada pilihan selain bangkit dalam baki empat perlawanan jika ingin merealisasikan impian muncul naib juara Liga Super musim ini.

Jurulatihnya, Mehmet Durakovic berkata, tidak guna barisannya meratapi kekalahan 1-2 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) malam tadi, sebaliknya mereka perlu bangkit menghadapi baki saingan.

“Perjuangan Perak belum berakhir, pemain perlu lupakan kekalahan ini dan bangkit dalam baki perlawanan jika ingin mencapai impian,” katanya ketika ditemui dalam perlawanan di Stadium Perak di sini, malam tadi.

Durakovic berkata, The Bos Gaurus tumpas kepada pasukan terbaik di Malaysia namun berbangga kerana mampu memberikan tentangan sengit sehingga ke akhir perlawanan.

“Pemain Perak membuktikan mereka layak sebagai pasukan kedua terbaik liga berdasar persembahan menentang JDT dan sudah mencuba sedaya upaya dalam perlawanan ini.

“Nyata malam ini bukan milik kami kerana dua percubaan singgah di palang dan tiang manakala pelawat berjaya memanfaatkan peluang mereka dengan baik,” katanya yang menyifatkan hantaran lintang Safawi Rashid dari sepakan percuma yang ditanduk masuk Hariss Harun pada minit ke-75 sebagai bertaraf tinggi.

Pada perlawanan itu juga Perak mengalami nasib malang apabila pertahanan kanan, Amirul Azahan Aznan mengalami kecederaan dan terpaksa diusung keluar dan digantikan Idris Ahmad.

“Saya tidak tahu tahap kecederaannya tetapi berharap ia tidak teruk,” katanya yang turut mengucap tahniah kepada JDT yang mengesahkan kejuaraan Liga Super buat kali kelima berturut-turut.

Disiarkan pada: July 11, 2018 @ 7:14pm
d