arena

'Akhirnya... Sep kito menang'

Oleh Hasbullah Ibrahim

KELANTAN kembali menemui rentak kemenangan walaupun sekadar menang tipis 2-1 ke atas naib juara Piala FA, Selangor pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, sebentar tadi.

Kelantan terlebih dulu memulakan asakan dan Shafiq Shaharudin hampir membuka jaringan pada minit ketujuh namun sepakan dalam kotak penaltinya ditampan pertahanan Selangor.

The Red Warriors (TRW) membuat beberapa percubaan berbahaya dari luar kawasan penalti pada minit ke-12 menerusi Cristiano Santos dan pada minit ke-15 menerusi Danial Ashraf Abdullah namun diselamatkan penjaga gol pelawat, Khairul Azhan Khalid.

Pelawat memiliki peluang menjaringkan gol pendahuluan menerusi sepakan kencang import dari Indonesia, Evan Dimas pada minit ke- 25 namun sedikit tersasar selepas terkena palang gol.

Gol pertama yang ditunggu-tunggu Kelantan akhirnya tiba pada minit ke-34 menerusi Shafiq yang merembat kencang dalam kawasan penalti selepas menerima hantaran Fakhrulzaman Wan Zawawi.

Selangor bagaimanapun mengejutkan tuan rumah apabila menyamakan kedudukan pada minit ke-77 menerusi rembatan deras dari luar kotak penalti pemain gantian Sean Selvaraj yang menewaskan penjaga gol Shahrizan Ismail.

Kelantan bagaimanapun memastikan kemenangan menerusi Danial pada minit ke-85 selepas menerima lorongan cantik Baktyiar Duishobekov.

Disiarkan pada: July 11, 2018 @ 11:40pm
d