arena

Pacquiao jumpa Syed Saddiq

Oleh Farah Azharie

KUALA LUMPUR: Legenda tinju Filipina, Manny Pacquiao, semalam mengadakan pertemuan dengan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Abdul Rahman, menjelang pertarungannya menentang juara bertahan welterweight Persatuan Tinju Dunia (WBA), Lucas Matthysse, Ahad ini.

Juara dunia lapan kategori tinju dunia dan Senator Filipina berusia 39 tahun itu mengambil kesempatan itu untuk berbincang mengenai pelbagai isu dan masa depan sukan tinju di Malaysia bersama anggota kabinet termuda Malaysia berusia 25 tahun terbabit.

Bagaimanapun, Pacquiao memilih untuk tidak akan mendedahkan butiran terperinci mengenai hasil pertemuan dan perbincangan dengan Syed Saddiq kepada umum ketika sidang media terakhir menjelang pertarungan ‘Fight of Champions’ di Arena Axiata, Bukit Jalil.

“Saya gembira kerana dapat mengadakan pertemuan dengan Menteri Belia dan Sukan serta bercakap dengan beliau mengenai sukan dan berterima kasih kepada kerajaan kerana menyokong program ini.

“Kami sentiasa berterima kasih kerana mendapat sokongan dan sudah pasti kami berbesar hati untuk mempromosikan sukan tinju di Malaysia,” katanya.

Dalam pada itu, media Filipina melaporkan pertemuan antara Pacquiao dan Syed Saddiq berkenaan ‘bakal merintis jalan untuk permulaan projek besar’ antara Filipina dan Malaysia nanti.

Disiarkan pada: July 12, 2018 @ 5:20pm
d