arena

Beri peluang pemain muda menyerlah

Oleh Rizar Mohd Noor

JOHOR BAHRU: Biarpun Johor Darul Ta’zim (JDT) sudah mengesahkan kejuaraan Liga Super untuk kali kelima berturut-turut pada musim ini namun pasukan itu tetap meletak sasaran memburu kemenangan apabila berdepan Kedah di Stadium Darul Aman, malam esok.

Pengendali skuad Harimau Selatan Raul Longhi bakal membuat rombakan kecil dalam kesebelasan utama dengan kemungkinan menurunkan barisan pemain muda yang jarang diturunkan sebagai pendedahan terbaik untuk mereka.

Kelibat Safawi Rasid, Afiq Fazail, Adam Nor Azlin, Syafiq Ahmad dan Nazmi Faiz Mansor kemungkinan diturunkan untuk berdepan skuad kendalian Nidzam Adha Yusoff yang pasti akan turun dengan corak permainan agresif bagi menebus kekalahan 1-4 kepada Melaka United (MU), Selasa lalu.

“Pemain muda JDT menjadi aset penting dalam pasukan itu, malah saya sentiasa memberi sokongan kepada mereka dan juga pemain senior kerana kami berpegang kepada falsafah bola sepak yang diterapkan.

“Apa yang saya dapat rumuskan, pemain muda dalam skuad JDT sudah mula menunjukkan kematangan dan tidak kekok apabila diturunkan dalam kesebelasan utama dan kerap memainkan peranan penting membentuk persefahaman dengan pemain senior.

“Malah saya mempunyai keyakinan tinggi terhadap barisan pemain muda dalam skuad JDT. Mereka adalah pemain masa depan untuk JDT kerana memiliki mentaliti terbaik dan sentiasa positif untuk membantu pasukan,” katanya.

JDT yang menewaskan Perak 2-1 pada aksi Selasa lalu, tidak pulang ke Johor Bahru selepas perlawanan itu, sebaliknya skuad kendalian Longhi berada di Ipoh dan akan meneruskan perjalanan ke Alor Setar untuk pertembungan menentang skuad Lang Merah.

Kini skuad Harimau Selatan pastinya mahu menamatkan baki empat lagi perlawanan dengan kemenangan 100 peratus bermula dengan aksi menentang Kedah, malam esok disusuli pertembungan menentang Kelantan di laman sendiri Selasa ini diikuti aksi menentang PKNP FC di Stadium Perak, 21 Julai ini.

Skuad Harimau Selatan akan menamatkan saingan liga dengan pertembungan menentang Kuala Lumpur di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, 27 Julai ini dan kemudian akan kembali memberi fokus bagi mempertahankan kejuaraan Piala Malaysia yang dimenangi musim lalu.

Disiarkan pada: July 12, 2018 @ 6:16pm
d