arena

Neymar bukan contoh baik

Oleh Reuters

MOSCOW: Aksi lakonan penyerang Brazil Neymar hanya membuatkan orang ramai mentertawakannya, kata bekas penyerang Belanda Marco van Basten hari ini.

Bercakap sebagai ketua pegawai pembangunan FIFA, Van Basten berkata pemain Brazil itu perlu menilai perbuatannya itu.

“Secara umumnya ia bukanlah sikap yang baik. Anda perlu mencuba yang terbaik dan bersikap terbuka dan jika anda berlagak keterlaluan ia tidak akan membantu,” katanya.

“Ia satu perkara yang perlu difahaminya secara peribadi berhubung situasinya itu.

“Tidak mengapa jika kita mempunyai sedikit humor dalam perlawanan dan dia membuat orang tertawa dan ia sesuatu yang positif.”

Neymar difahamkan sentiasa menjadi mangsa terjahan keras pada Piala Dunia namun lakonannya dan tindakannya menjatuhkan badan menjadikannya bahan jenaka terutama di Eropah.

Bagaimanapun ketua kumpulan kajian teknikal FIFA di Piala Dunia Carlos Alberto Parreira berkata Neymar sentiasa menjadi mangsa terjahan keras.

“Dia sentiasa dijatuhkan, sering dikasari dan ada kalanya jatuh tanpa sebab. Dia menarik publisiti seperti itu tetapi bagi kami (Brazil) dia masih seorang pemain yang mampu membawa perubahan,” kata Parreira yang menjadi jurulatih Brazil pada Piala Dunia 1994 dan 2006.

Harapan Brazil menjulang gelaran dunia keenam terkubur apabila mereka tewas 1-2 kepada Belgium pada suku akhir.

Disiarkan pada: July 13, 2018 @ 12:16am
d