arena

Perlu fokus, wakil benua Afrika gagal menyerlah

Oleh AFP

BEKAS pemain sayap Nigeria, Emmanuel Amunike menegaskan Afrika perlu fokus kepada pembangunan bola sepak remaja selepas pasukan benua berkenaan gagal menyerlah di Piala Dunia 2018.

Amunike berkata, tindakan itu perlu selepas tiada satu pun daripada lima pasukan wakil benua Afrika yang berjaya melepasi saingan peringkat kumpulan di Russia dengan Nigeria, Senegal, Tunisia, Mesir dan Maghribi hanya menang tiga perlawanan sesama sendiri.

"Adalah amat mendukacitakan bagi pasukan Afrika dan benua Afrika. Ramai pihak menjangkakan pasukan Afrika dapat pergi lebih jauh berbanding Piala Dunia 2014, namun malangnya ia tidak menjadi kenyataan," kata Amunike yang menjadi sebahagian daripada penganalisa FIFA ketika sidang media di Moscow, semalam.

Senegal pula kurang bernasib baik kerana tersingkir dari pusingan kalah mati 16 pasukan terbaik kepada Jepun hanya kerana rekod disiplin atau lebih tepat lagi akibat pemainnya menerima kad kuning lebih banyak berbanding skuad Samurai Blue.

Kegagalan itu memperlihatkan langkah ke belakangan selepas Nigeria dan Algeria tersingkir di pusingan kalah mati pada 2014 manakala Ghana pula kalah di peringkat suku akhir di Afrika Selatan, lapan tahun lalu.

Disiarkan pada: July 13, 2018 @ 8:21am
d