arena

Conte sah tinggalkan Chelsea

Oleh Agensi

LONDON: Chelsea mengesahkan mereka sudah ‘bercerai’ dengan pengurus mereka, Antonio Conte selepas hanya dua tahun pengendali dari Itali itu mengendalikan pasukan terbabit.

“Chelsea dan Antonio Conte sudah bersetuju untuk membawa haluan masing-masing,” kata pasukan dari London menerusi laman web rasminya.

“Kami mengucapkan selamat maju jaya kepada Antonio untuk kariernya pada masa hadapan.”

Conte meninggalkan pasukan itu sebagai pengurus yang memiliki peratusan kemenangan terbaik dengan 65.1 peratus dalam sejarah pasukan itu bagi era Liga Perdana Inggeris (EPL).

Sepanjang dua tahun bersama pasukan The Blues, bekas bos Juventus itu merangkul kejuaraan EPL pada musim pertamanya pada 2017 sebelum memenangi Piala FA musim lalu.

Conte yang masih memiliki kontrak setahun dilihat ‘membunuh diri’ selepas tidak lagi mendapat kepercayaan daripada pemain dan lembaga apabila mengharungi kempen liga yang kurang memberangsangkan.

Teknik latihan keras turut menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan pemain senior dan beliau mengetepikan lembaga pengarah berdasarkan layanannya kepada pemain Sepanyol, Diego Costa.

Beliau juga sering mengkritik pengurusan selepas gagal membawa masuk pemain terkemuka untuk pasukan terbabit

Bekas jurulatih Napoli, Maurizio Sarri dikatakan menjadi pilihan untuk menggantikan tempat Conte selepas jawatannya di Napoli diisi oleh bekas pengendali Chelsea, Carlo Ancelotti.

Disiarkan pada: July 13, 2018 @ 6:50pm
d