arena

'Piala Dunia Russia memang terbaik!'

Oleh AFP

MOSCOW: Presiden Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), Gianni Infantino, hari ini meraikan apa yang digambarkannya sebagai ‘Piala Dunia Terbaik’ setakat ini pernah dianjurkan dan diuruskan di Russia.

“Apa yang saya mahu katakan ialah ini adalah ‘Piala Dunia Terbaik’ pernah dianjurkan sehingga sekarang. Hari ini saya mengatakannya dengan lebih yakin bahawa ia adalah Piala Dunia terbaik,” kata Infantino kepada pemberita dua hari menjelang aksi final yang bakal menyaksikan pertembungan antara Perancis dan Croatia.

Infantino memberitahu Presiden Russia Vladimir Putin dalam satu pertemuan di Kremlin minggu lalu, bahawa ‘dunia jatuh cinta dengan Russia’ dalam tempoh empat minggu lalu.

Infantino juga menegaskan tanggapan negara terhadap Russia juga semakin positif apabila menyaksikan lebih sejuta peminat bola sepak berkujung ke negara terbabit untuk menyaksikan perlawanan Piala Dunia 2018.

“Semua tanggapan dan idea sebelum ini berubah kepada terima kasih Russia kerana berjaya menganjurkan Piala Dunia 2018.

“Semua orang mendapati Russia adalah sebuah negara yang cantik, mengalu-alukan kehadiran pelancong dan penduduk berjaya menunjukkan sebenarnya banyak apa yang diperkatakan kadang kala tidak berlaku di sini,” kata Infantino.

Disiarkan pada: July 13, 2018 @ 9:56pm
d