arena

Pescao bermula positif sesi latihan

Oleh Fadhli Ishak

PELUMBA negara, Hafizh Syahrin Abdullah menamatkan aksi hari pertama MotoGP Jerman dengan mengatasi rakan sepasukan yang lebih berpengalaman, Johann Zarco dan hanya kurang satu saat di belakang pelumba terpantas pada sesi latihan kedua.

Hafizh merekod satu minit dan 22.969 saat untuk menduduki tangga ke-20 pada latihan pertama (FP1) di Litar Sachsenring, namun mempamerkan peningkatan pada FP2.

Pelumba Monster Yamaha Tech3 itu berjaya mencatat pusingan terpantas 1:21.777s untuk berada di tempat ke-16 pada FP2, sekali gus memberi petanda baik bagi memberi saingan dalam perebutan slot 15 terbaik pada pusingan kelayakan esok.

Hafizh berkata, dia berpuas hati dengan peningkatan yang dipamerkan di Sachsenring, iaitu litar terpendek dalam kalendar MotoGP.

"Ini kali pertama saya di sini dengan menggunakan motosikal MotoGP dan saya berasa sangat bagus hari ini terutama pada selekoh ke-11. Kami perlu berhati-hati kerana ia selekoh kanan yang pertama selepas beberapa selekoh kiri," kata Hafizh.

"Saya mahu memahami semua aspek terlebih dahulu pada sesi pertama. Pada sesi kedua, saya berasa selesa dengan tayar medium. Selepas itu saya menukar kepada tayar lembut, tetapi saya berasa kehilangan kawalan tayar depan terutama ketika menekan brek dengan kuat.

"Kami sangat hampir, hanya 0.8 saat dengan pendahulu. Saya akan cuba untuk memberikan yang terbaik bagi sesi esok. Saya sangat gembira dengan prestasi hari pertama dan berharap kami boleh terus meningkat pada Sabtu."

Sementara itu, Zarco muncul pelumba ke-10 terpantas (1:22.490s) pada FP1, namun merosot ke tangga ke-18 pada FP2 dengan catatan 1:21.787s.

Pelumba Itali, Andrea Iannone (Suzuki Ecstar) mendahului pada FP1 dengan 1:21.442s, manakala Jorge Lorenzo (Ducati) menjadi pelumba terpantas dalam FP2 selepas mencatat 1:20.885s.

 

Disiarkan pada: July 14, 2018 @ 12:30am
d