arena

Sabah 'jinakkan' TFC II

Oleh Faizul Azlan Razak

HAJAT Terengganu FC II (TFCII) untuk memperbaiki kedudukan dalam carta Liga Perdana tidak kesampaian apabila tewas 1-2 di tangan Sabah di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, sebentar tadi.

Dalam pertembungan tadi, kedua-dua pasukan saling berbalas serangan mencari gol awal, namun gagal membuahkan jaringan.

Pada minit ke-15, kesilapan barisan pertahanan tuan rumah hampir membawa padah, namun mereka terselamat apabila jaringan Maxius Musa dibatalkan kerana berada dalam kedudukan ofsaid.

Tuan rumah memiliki peluang terbaik untuk membuka tirai jaringan namun rembatan Akanni Sunday Wasiu menuju tepat ke dakapan penjaga gol Sabah, Rozaimie Rohim minit ke-22.

Sebelum melangkah ke bilik persalinan, TFC II sekali lagi mempersiakan peluang keemasan apabila sepakan percuma berhampiran kotak penalti yang disempurnakan Mohamad Arif Fadzilah Abu Bakar diselamatkan Rozaimie.

Bersambung di babak kedua, Sabah mengejutkan tuan rumah menerusi tandukan Hector Ramos hasil hantaran lintang Sabri Sahar yang berjaya menewaskan penjaga gol, Mohd Suhaimi Husin minit ke-46.

Ketika tuan rumah gigih mencari gol penyamaan, skuad kendalian Jelius Ating berjaya menambah gol kedua menerusi jaringan Rodoljub Paunovic pada minit ke-89.

TFC II memperoleh gol sagu hati menerusi pemain gantian, Muhamad Firas Mohd Tarmizi yang menolak masuk bola hantaran Mohammad Ridzuan Mohd Razali minit ke-90.

Disiarkan pada: July 14, 2018 @ 2:43am
d