arena

'Saya yakin aura Hazard...'

Oleh AFP

SAINT PETERSBURG: Jurulatih Belgium, Roberto Martinez memuji ‘mentaliti juara’ yang dimiliki Eden Hazard, dengan Real Madrid dilaporkan sedang memikirkan langkah untuk memancing bintang Chelsea itu selepas Piala Dunia.

Hazard menjadi antara seorang pemain terbaik kejohanan dengan membawa Belgium mara hingga ke separuh akhir buat kali pertama sejak 1986, sebelum kalah 0-1 kepada Perancis.

Masa depan pemain berusia 27 tahun itu masih tidak menentu di Stamford Bridge, yang menyaksikan pengurus, Antonio Conte akhirnya dipecat pada Jumaat lalu.

Real dikatakan sedang mempertimbangkan Hazard sebagai pengganti Cristiano Ronaldo selepas pemenang Ballon d'Or sebanyak lima kali itu menyertai Juventus minggu ini.

“Dia antara seorang pemain paling sempurna dalam bola sepak moden,” kata Martinez menjelang aksi penentuan tempat ketiga antara Belgium dan England di Saint Petersburg.

“Dia mungkin antara pemain bola sepak terbaik dalam situasi satu lawan satu. Dia membawa pemahaman bagaimana untuk memecahkan barisan pertahanan.”

Hazard sudah memenangi dua gelaran Liga Perdana bersama Chelsea, pada musim 2014-15 dan 2016-17, sejak berhijrah daripada Lille enam tahun lalu.

“Dia adalah pemain yang memiliki mentaliti juara dan dia boleh beraksi dengan mana-mana pasukan atau kelab di seluruh dunia,” tambah Martinez.

Disiarkan pada: July 14, 2018 @ 3:23am
d