arena

Peluang podium Lorenzo di Sachsenring

Oleh AFP

SACHSENRING, Jerman: Pelumba Sepanyol Jorge Lorenzo merekodkan masa terpantas pada sesi latihan Grand Prix Jerman di Sachsenring dengan pendahulu kejuaraan Marc Marquez di kedudukan kelima terpantas.

Juara dunia tiga kali MotoGP, Lorenzo mencatat masa terbaik satu minit dan 20.85 saat bersama jentera Ducati.

Pelumba Ducati Pramac, Danilo Petrucci yang dilaporkan akan menggantikan Lorenzo dalam pasukan Ducati musim depan apabila pelumba Sepanyol itu meninggalkan Honda, berada di tempat kedua selepas ketinggalan 0.257 saat.

Andrea Iannone dan jentera Suzuki yang merekod masa terbaik pada sesi pembukaan berada di tempat ketiga dengan catatan masa 0.319 saat, manakala Andrea Dovizioso di kedudukan keempat bersama factory Ducati.

"Kami memiliki peluang baik untuk bersaing menaiki podium dan kemenangan juga bukan sesuatu yang mustahil," kata Lorenzo yang dipetik dalam laman web MotoGP.

Penyandang juara dunia, Marquez sudah memenangi perlumbaan di Sachsenring untuk tempoh lima tahun terakhir dan kini memburu sembilan kejuaraan berturut-turut GP Jerman secara keseluruhan.

Pelumba Honda itu yang mendahului kedudukan pelumba dengan 41 mata berbanding lagenda Itali Valentino Rossi, mencatat 0.464 saat lebih perlahan daripada Lorenzo.

"Ia hari pertama yang bagus, walaupun semua pencabar mencatat masa hampir sama berbanding tahun lalu," kata Marquez.

"Esok saya akan berusaha dan melakukan sedikit penyelarasan kerana saya belum dapat menyediakan motosikal seperti yang saya mahukan."

Yamaha pula bergelut sepanjang hari dengan Maverick Vinales hanya berpuas hati menerusi rekod masa enam terpantas, manakala pelumba berusia 39 tahun Rossi berada di kedudukan ke-17.

"Apabila kami cuba untuk menambah kuasa, tayar pula kurang cengkaman dan menyebabkan kesukaran," kata juara dunia sembilan kali itu.

Rakan sepasukan Marquez di Honda, Dani Pedrosa yang mengumumkan bakal menamatkan karier 17 tahun apabila tamat musim ini semalam berada di tempat ke-20.

Disiarkan pada: July 14, 2018 @ 3:37am
d