arena

Kritikan lonjak motivasi Lovren

Oleh Agensi

MOSCOW: Pertahanan Croatia, Dejan Lovren menganggap pengkritiknya perlu menelan semula kata-kata mereka selepas berjaya membantu Liverpool mara ke pentas akhir Liga Juara-Juara dan pasukan negaranya mara ke pentas akhir Piala Dunia.

“Ia terasa begitu luar biasa, terutamanya selepas apa yang diperkatakan mengenai kami sebelum perlawanan,” kata Lovren selepas kemenangan separuh akhir ke atas England.

“Kami menunjukkan kekuatan karektor. Kami menunjukkan bahawa kami berhak ke final dan orang ramai sepatutnya menghormati kami. Ada kalanya kritikan adalah tidak adil.”

Bergandingan dengan pemain yang menjadi pilihan tersenarai dalam pasukan kesebelasan utama terbaik Piala Dunia, Domagoj Vida, Lovren dan barisan pertahanan Croatia berjaya mengekang asakan England selepas dibolosi gol seawal minit keempat Kieran Trippier.

“Orang sering mengatakan saya mengalami musim yang sukar (bersama liverpool) tetapi saya tidak setuju dengannya,” kata Lovren.

“Saya sudah membuktikan kemampuan apabila berjaya membantu Liverpool mara ke pentas final Liga Juara-Juara dan kini bersama pasukan kebangsaan kami sudah ke final.

“Kritikan ini menjadikan saya lebih bermotivasi untuk bekerja keras dan membuktikan semua tanggapan itu salah. Mulai daripada hari ini semua penyokong Croatia dan seluruh dunia dapat melihat sejarah yang tercipta.

“Untuk tempoh 20 tahun, orang ramai akan mengingati kami, dan bukan saja skuad Croatia 1998. Ini sebab mengapa saya begitu bangga dan kini kami berpeluang membuatkan kami dikenang selamanya.”

Disiarkan pada: July 14, 2018 @ 11:10am
d