arena

Rakitic cacah tatu di dahi jika menang

Oleh Agensi

MOSCOW: Bintang Croatia, Ivan Rakitic berjenaka dia akan mencacah tatu di dahinya jika negaranya menjuarai Piala Dunia.

Croatia akan bertemu Perancis di pentas final Piala Dunia, esok dengan Rakitic yang beraksi bersama kelab gergasi Sepanyol, Barcelona adalah salah seorang tonggak skuad kendalian Zlatko Dalic di Russia.

“Di dahi saya!” kata Rakitic kepada wartawan ketika ditanya sama ada dia ada merancang untuk menambah tatu jika Croatia menang.

“Ada banyak ruang di sana, seperti yang kamu dapat lihat! Tetapi pertama sekali saya perlu bertanya kepada isteri saya.”

Rakitic turut mendedahkan betapa dia merasakan jutaan peminat bola sepak mengharapkan kemenangan berpihak kepada Croatia yang tidak dianggap pasukan pilihan.

“Sejujurnya, saya dapat merasakan ratusan juta orang di dunia meletakkan harapan kepada kami. Saya mendapat mesej dari Argentina, Jerman, Sepanyol, keempat-empat sudut dunia. Ia menakjubkan.

“Apa yang membuatkan saya amat gembira ialah mereka berkata mereka tidak dapat membayangkan akan meraikan gol selain yang dijaringkan oleh pasukan kebangsaan mereka sendiri.

“Ia menunjukkan yang kami layak menjadi finalis, kami mahu menunjukkan kepada dunia yang kami bermain sebagai satu unit dan akan memberikan segala-galanya di atas padang.”

Croatia mengharungi tiga aksi tambahan masa pada ketiga-tiga perlawanan di peringkat kalah mati termasuk ketika menyingkirkan England 2-1 di separuh akhir.

Tetapi Rakitic menolak pendapat mengatakan pasukannya mungkin dilanda kepenatan bertemu Perancis yang turut memperoleh lebih rehat sehari.

“Akan ada tenaga tambahan, jangan bimbang. Ini adalah perlawanan yang bersejarah, bukan saja untuk kami tetapi untuk semua rakyat Croatia.”

Disiarkan pada: July 14, 2018 @ 11:17am
d