arena

Sarri sah ganti Conte

Oleh Agensi

MAURIZIO Sarri berkata, beliau mahu membawa aksi ‘bola sepak menghiburkan’ ke Chelsea selepas menjadi jurulatih baru mereka dengan kontrak selama tiga tahun.

Pengurus berusia 59 tahun itu menggantikan rakan senegaranya dari Itali, Antonio Conte yang dipecat semalam selepas dua tahun di Stamford Bridge.

Sarri membawa Napoli ke tangga kedua sebanyak dua kali sepanjang tiga musim mengendalikan kelab Serie A itu yang menamakan Carlo Ancelotti sebagai penggantinya pada Mei.

“Ia tempoh yang paling mengujakan sepanjang karier saya,” kata Sarri.

“Saya harap kami dapat memberikan aksi bola sepak menghiburkan buat peminat kami dan akan berjuang merebut kejuaraan pada akhir musim, yang berhak diperolehi kelab ini.”

Beliau adalah jurulatih ke-13 dilantik pemilik Blues Roman Abramovich sejak mengambil alih kelab itu pada 2003 termasuk melantik Jose Mourinho dan Guus Hiddink sebanyak dua kali.

Pelantikan Sarri sudah dijangka dengan Chelsea bersetuju dengan bayaran ganti rugi untuk membawanya ke Stamford Bridge berikutan beliau mempunyai baki kontrak dua tahun bersama Napoli dan masih menerima gaji daripada kelab Itali itu selepas ketibaan Ancelotti.

Juventus mendominasi liga Itali dengan menjulang tujuh gelaran berturut-turut, namun tiada pasukan yang begitu hampir dengan mereka serapat Napoli yang ketinggalan empat mata berbanding mereka musim lalu.

Sarri hadir dengan reputasi sebagai pengurus dengan kelebihan di bahagian serangan, di mana 97 jaringan Napoli sepanjang musim 2016-17 masih kekal sebagai jaringan terbanyak Serie A sejak abad ini.

Beliau adalah jurlatih Chelsea kelima dari Itali bermula dengan Gianluca Vialli pada 1998, selain Claudio Ranieri, Ancelotti, Roberto di Matteo dan Conte. –Agensi

Disiarkan pada: July 14, 2018 @ 6:12pm
d