arena

Penyokong risau benteng Kedah rapuh

Oleh Rodly Fadly

KUALA LUMPUR: Kerapuhan benteng pertahanan Kedah musim ini mencetuskan keresahan penyokong yang meminta jurulatih, Nidzam Adzha Yusoff melakukan sesuatu bagi mengelak pintu gol pasukan itu terus dibolosi lawan dengan mudah.

Presiden Jaguh Utara Fans Club (JUFC), Mohd Safarizal Mohd Sobri berkata, 32 gol yang membolosi gawang Kedah setakat ini memerlukan perhatian serius daripada Nidzam.

“Pada awal musim penyokong terlalu bimbangkan bahagian serangan ekoran prestasi hambar pemain import, Pablo Pallares. Tapi, ternyata masalah itu sudah dapat diatasi apabila bahagian serangan menunjukkan peningkatan ketara. 

“Kedah menghasilkan 35 gol, kedua terbaik di belakang JDT (Johor Darul Ta’zim) sebagai pasukan paling banyak menjaringkan gol (39) tapi, mereka juga antara pasukan yang paling banyak dibolosi.

“Sudah 32 gol bolos musim ini, itu membuktikan pertahanan Kedah sangat lemah. Situasi inilah yang membimbangkan kami.

“Kami tidak mahu menuding jari kepada mana-mana pemain namun rasanya Nidzam lebih tahu dan perlu melakukan sesuatu yang drastik untuk mengatasi masalah ini,” tegas Safarizal.

Menurut Safarizal, walaupun dikawal pemain berpengalaman seperti Khairul Helmi Johari dan Rizal Ghazali serta pemain import, Alvaro Silva namun benteng Kedah begitu mudah diatasi lawan.

“Saya melihat antara puncanya adalah tahap kecergasan pemain yang gagal bertahan sehingga 90 minit perlawanan. Selalunya, pada 15 minit terakhir mereka kelihatan sudah keletihan dan mula hilang tumpuan.

“Kami harap Kedah dapat bangkit terutama pada Piala Malaysia kelak kerana itu satu-satunya piala yang masih tinggal untuk direbut selepas terlepas Piala FA dan gagal memenangi liga,” katanya.

 

 

Disiarkan pada: July 15, 2018 @ 1:57pm
d