arena

Masa depan England sangat baik - Mourinho

Oleh Agensi

JOSE Mourinho percaya England tidak pulang tangan kosong daripada kempen Piala Dunia di Russia sebaliknya membawa masa depan bersama mereka biarpun tewas 0-2 kepada Belgium dalam aksi tempat ketiga malam tadi.

Skuad kendalian Gareth Southgate itu melepasi jangkaan ramai pihak dengan kejayaan mara ke separuh akhir kejohanan di Russia.

Meskipun mereka pulang ke tanah air dengan dua kekalahan berturut-turut, Mourinho yakin mereka memiliki masa depan cerah.

"Apa yang jelas, England membawa pulang pasukan yang memiliki masa depan," kata pengurus Manchester United itu. "Anda boleh merasakan bahawa hubungan antara Gareth Southgate, Steve (Holland, penolong pengurus) dan pemain sangat baik.

"Mereka memiliki asas yang baik untuk meneruskan pasukan ini. Biasanya England dan pasukan lain bila mereka tidak mencapai objektif, mereka akan tukar tapi saya fikir England memiliki semua alasan untuk melakukannya dan memberi peluang untuk meneruskan proses dengan penuh keyakinan.

"Ada tiga atau empat pemain yang tidak akan bersama pada generasi seterusnya dan boleh digantikan dengan pemain lain yang berbakat dalam Liga Perdana. Pasukan ini ada masa depan yang sangat baik.

"Saya fikir pada Piala Dunia yang akan datang, England memiliki skuad yang lebih baik," katanya.

England terlepas kedudukan ketiga selepas jaringan Thomas Meunier dan Eden Hazard memberikan Belgium kemenangan di St Petersburg.

"Saya berharap kekecewaan mereka pada dua perlawanan terakhir tidak akan memberi kesan. Saya fikir pasukan ini tidak akan kemana selepas Euro 2016 namun sebaliknya berlaku sekarang.

"England memiliki penjaga gol, penyerang, pemain tengah dan ini adalah asas untuk masa depan yang cerah. Untuk Croatia ia mungkin Piala Dunia terakhir buat Luka Modric dan untuk Cristiano Ronaldo bersama Portugal, dia sudah berusia 33 tahun dan akan berusia 37 tahun pada Piala Dunia seterusnya. 

"Bagi England, mereka tidak berdepan situasi ini. Pemain mereka berpeluang untuk menjadi lebih baik," kata Mourinho.

 

Lagi berita Piala Dunia 2018

Disiarkan pada: July 15, 2018 @ 3:03pm
d