arena

Mourinho bagi rehat tiga minggu

Oleh Agensi

BOS Manchester United, Jose Mourinho tidak gembira dengan permulaan awal kempen Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini dan mengesahkan pemain bintangnya di Piala Dunia tidak akan diturunkan bagi aksi pembukaan.

Bercakap selaku pengulas di Russia, bekas pengurus Real Madrid dan Chelsea itu meluahkan rasa kurang senangnya dengan jurang masa di antara Piala Dunia dan permulaan musim EPL di mana skuad kendaliannya dijadual beraksi pada 10 Ogos.

Bagi Mourinho, tempoh berkenaan tidak cukup buat pemain-pemainnya yang beraksi di Piala Dunia untuk pulih sepenuhnya.

“Kami tidak boleh memulakan Liga Perdana dengan pemain-pemain yang beraksi di Piala Dunia, ia sesuatu yang amat mengecewakan terutama kelab yang beraksi di Eropah,” kata Mourinho.

Paul Pogba, Nemanja Matic, Marcus Rashford, Jesse Lingard, Marouane Fellaini dan David De Gea antara tonggak United yang beraksi untuk negara masing-masing di Russia.

Kata Mourinho, dia merancang untuk memberikan rehat selama tiga minggu untuk pemain yang beraksi di Russia selepas kejohanan menutup tirainya bagi memberi mereka peluang untuk kembali cergas sepenuhnya sebelum menyarung jersi United.

“Tiga minggu (rehat), sesuatu yang saya fikir adalah minimum untuk badan dan mental mereka perlukan, tempoh minimum untuk mereka kembali dan berfikir mengenai bola sepak sekali lagi,” kata pengurus kelahiran Portugal itu.

“Untuk menyenaraikan mereka sebelum itu adalah seperti, ‘OK, saya akan menurunkan kamu untuk perlawanan pertama musim ini tetapi mungkin saya tidak akan dapat menggunakan kamu untuk tiga atau empat bulan selepas itu.”

Kenyataan Mourinho turut memberi petanda betapa peminat di luar England mungkin tidak akan dapat melihat kelibat pemain pujaan mereka ketika kempen pra-musim kelab itu.

Naib juara EPL musim lalu itu akan mengharungi lima perlawanan pemanas badan pada bulan ini di Amerika Syarikat sebelum berkunjung ke Bayern Munich pada 5 Ogos.

Disiarkan pada: July 15, 2018 @ 3:45pm
d