arena

Piala Dunia lonjak imej Russia

Oleh Reuters

MOSCOW: Penganjur Piala Dunia Russia berkata, kejohanan itu setakat ini mencapai kejayaan sekali gus membantu meningkatkan imej negara itu di mata dunia.

Menurut CEO jawatankuasa penganjur tempatan, Alexei Sorokin, negara itu berbangga dengan kehadiran lebih daripada satu juta tetamu asing menyaksikan kejohanan dan semua 12 stadium yang menjadi venue perlawanan hampir 98 peratus dipenuhi penonton.

Kejohanan sebulan itu dengan final antara Perancis dan Croatia menjadi kemuncaknya malam ini di Stadium Luzhniki, Moscow berlangsung dengan lancar tanpa sebarang insiden tidak diingini. Kebimbangan terhadap isu perkauman dan ancaman kegananasan penyokong tidak menjadi kenyataan.

“Ia mengubah persepsi terhadap Russia dalam kalangan masyarakat antarabangsa,” kata Sorokin kepada wartawan.

“Kejohanan ini menunjukkan siapa kita sebenarnya dan membuktikan kami adalah masyarakat terbuka, mesra, peramah dan memberi layanan baik kepada pelawat.”

Sorokin berkata, zon penyokong yang diwujudkan di 11 bandar termasuk Moscow, St Petersburg dan Sochi telah dilimpahi sejumlah tujuh juta orang sepanjang kejohanan berlangsung.

Menurutnya lagi, Piala Dunia telah menghapuskan sikap prejudis masyarakat dunia terhadap negara itu.

“Anda dapat lihat kami berusaha sebaik mungkin menerima kedatangan penyokong dari serata dunia. Ia bukan sahaja mengubah persepsi dunia malah mengubah kami sendiri. Kami kini percaya kami mampu melakukannya. Kami mampu bermain bola sepak dengan baik dan menganjurkan kejohanan besar dengan berjaya,” katanya.

Disiarkan pada: July 15, 2018 @ 9:19pm
d