arena

Siaran langsung EPL di RTM...?

Oleh Faris Fuad

KEMENTERIAN Komunikasi dan Multimedia (KKMM) akan mengkaji cadangan menyiarkan perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) di Radio Televisyen Malaysia (RTM) secara langsung pada masa hadapan.

Menterinya Gobind Singh Deo berkata, pihaknya tidak dapat berbuat demikian untuk musim 2018/2019, namun akan berusaha merealisasikan impian jutaan rakyat Malaysia itu paling awal pada 2020.

Bagaimanapun, katanya, sebarang perancangan membabitkan siaran langsung EPL itu mungkin berubah mengikut situasi semasa termasuk keadaan ekonomi negara dan dana kerajaan ketika itu.

“Siaran EPL secara langsung di RTM adalah satu perkara yang dibawa kepada perhatian KKMM.

“Untuk tahun ini, kita tidak boleh berbuat demikian kerana ia menelan kos yang besar melebihi dana diperlukan untuk siaran Piala Dunia 2018 di mana mendapat tajaan berjumlah RM30 juta.

“Pada masa sama, kerajaan ambil inisiatif untuk kurangkan perbelanjaan negara seperti disarankan (Perdana Menteri) Tun Dr Mahathir Mohamad pada tahun ini.

“(Siaran EPL) mungkin bukan tahun ini, bukan tahun depan, kita tengok tahun-tahun akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Jom Bola Perlawanan Akhir Piala Dunia 2018 bersama Menteri KKMM di padang Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) Puchong Indah, Puchong, malam ini.

Sementara itu, beliau berkata, bangunan Media City di Wisma Angkasapuri RTM bakal dilengkapi peralatan dan teknologi moden menjadi antara usaha KKMM untuk memperkasakan kualiti penyiaran stesen televisyen itu.

“Bangunan itu akan disiapkan dalam tempoh dua bulan lagi. RTM akan mempunyai akses kepada peralatan moden untuk menyiarkan pelbagai program termasuk segmen sukan secara langsung dan lebih berkualiti,” katanya.

Disiarkan pada: July 16, 2018 @ 12:13am
d