arena

'Pussy Riot' buat kacau

Oleh Reuters

MOSCOW: Perlawanan akhir Piala Dunia antara Perancis dan Croatia sedikit terganggu apabila empat individu termasuk dua wanita memasuki padang di Stadium Luzhniki.

Pegawai keselamatan bagaimanapun bertindak menghalang kumpulan yang semuanya memakai baju berwarna putih, seluar hitam dan topi hitam, berlari ke padang dari belakang gol Perancis dan cuba mendekati pemain.

Kumpulan pemuzik yang menggelarkan diri mereka sebagai ‘Pussy Riot’ mengaku bertanggungjawab selepas ahli kumpulan mereka memakai pakaian seragam polis untuk memasuki padang ketika berlangsungnya babak kedua.

Pemain pertahanan Croatia, Dejan Lovren juga dilihat cuba meminta seorang daripada kumpulan itu keluar sebelum pasukan pegawai keselamatan mengusir mereka.

Gangguan itu berlangsung tidak melebihi dua minit dan perlawanan diteruskan semula pada minit ke-52.

Lapan tahun lalu, seorang lelaki yang memakai baju anti-perkauman berlari di padang selama beberapa minit sebelum perlawanan akhir Piala Dunia 2010 di Johannesburg dan menghampiri trofi yang dipamerkan.

Disiarkan pada: July 16, 2018 @ 1:50am
d