arena

Anjakan paradigma Griezmann

Oleh Reuters

Moscow: Gemuruh tepukan yang kedengaran di stadium langsung tidak mampu menggentarkan Antoine Griezmann malah pemain berusia 27 tahun itu mahu menjadikan Piala Dunia sebagai medan untuk mempamer bakat yang dimilikinya.

Tanpa mempedulikan segala pujian mahupun gelombang kemarahan penyokong selain siulan yang bergema, bintang Perancis itu mudah memperdayakan penjaga gol dan menjaringkan gol kedua Les Bleus ketika pasukannya menang 4-2 ke atas Croatia.

Kilauan kamera yang diarahkan kepadanya melonjakkan lagi semangat juang sekali gus menambah aksi menarik di Stadium Luzhniki di Moscow.

Griezmann menjana jaringan pertama Perancis yang terhasil akibat gol sendiri penyerang Croatia, Mario Mandzukic dan dia juga bertanggungjawab membuat hantaran kepada Paul Pogba untuk gol ketiga pasukannya.

Sepakan sudut yang diambil Griezmann ketika separuh akhir menentang Belgium turut menghasilkan gol yang membawa Perancis ke final.

Bagaimanapun, bagi pemain yang diburu kelab utama dunia dan pernah memenangi anugerah kasut emas di Euro 2016 serta pemain terbaik kejohanan berkenaan, satu-satunya kejuaraan yang dimiliki tahun ini ialah pingat Liga Europa yang dimenangi bersama Atletico Madrid.

Selepas itu tiada lagi. Malam tadi, Griezmann dan semua rakan sepasukannya menghasilkan persembahan yang membanggakan dan di hujung permainan, mereka semua menangis kegembiraan selepas dinobatkan sebagai juara dunia.

“Saya tidak tahu di mana saya berada ketika ini,” kata pemain itu ketika kakitangan kejohanan sibuk menyediakan pentas untuk penyampaian hadiah. “Kami tidak sabar untuk menjulang Piala Dunia dan membawanya pulang ke Perancis.”

Sementara menunggu majlis penyampaian hadiah, air mata Griezmann terus mengalir, mengiringi hujan yang membasahi Stadium Luzhniki. Lebih menarik, presiden Perancis, Emmanuel Macron mencium dahi dan menepuk bahu setiap pemainnya.

Sebaik Piala Dunia diserahkan kepada Perancis, Griezmann pantas menciumnya dan mengarak trofi berkenaan ke arah kelompok penyokong Les Bleus di belakang gawang sebelum berpatah balik ke tengah padang.

Ia prestasi membanggakan buat seorang pemain yang sering diragui bakatnya dan Griezmann pantas membuktikan kebolehannya di hadapan peminat.

Disiarkan pada: July 16, 2018 @ 7:44am
d